“Bersih 5 adalah satu perhimpunan yang amat perlu bagi memberi mesej jelas kepada kerajaan bahawa rakyat inginkan pilihan raya dan pemimpin yang bersih dan telus,” kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad.
Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya rakyat Malaysia keluar beramai-ramai untuk menyatakan situasi pentadbiran negara berada dalam tahap yang amat lemah dan pembaik-pulih perlu dilaksanakan serta-merta.
“Imej negara juga semakin buruk. Penyelewengan wang yang berkaitan 1MDB mengakibatkan ramai pelabur asing keluar.
“Ini bermakna pelabur antarabangsa akan beransur-ansur hilang keyakinan terhadap negara kita. Dan oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia wajar menuntut supaya semua pemimpin negara meletak jawatan dengan serta-merta bagi mengelakkan keadaan lebih buruk,” kata Khalid.
Selain itu, katanya, persempadanan semula pilihan raya yang tidak adil sebagaimana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 15 September lalu juga perlu dibantah secara besar-besaran.
“Kita harus turun padang beramai-ramai pada 19 November untuk memberitahu kerajaan bahawa kita tahu taktik sesetengah pihak untuk mengekalkan kuasa buat selama-lamanya.
“Pakatan Harapan menyokong Bersih 5 sepenuhnya kerana ia adalah satu perhimpunan yang aman dan selaras dengan prinsip demokrasi negara kita. Para pemimpin negara kita juga mesti menghormati suara bantahan perserta Bersih 5 ini,” kata beliau lagi.
Bersih 2.0 baru-baru ini mengumumkan himpunan besar-besaran membantah persempadanan semula pilihan raya akan diadakan pada 19 November depan. Himpunan itu juga menuntut PM Najib yang dikaitkan dengan skandal pembersihan wang haram oleh anak tirinya Riza Aziz di Amerika Syarikat meletak jawatan.
Tema bersih kali ini ialah ‘Combine our energy – New Malaysia’ atau ‘Bersatu tenaga untuk sebuah Malaysia baru.