Selepas setahun beroperasi, Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan disambut meriah penduduk Kota Bharu seperti ditunjukkan dalam majlis di Dusun Muda sepanjang hari ini.
“Sejak awal pagi orang ramai datang membawa anak masing-masing untuk menyertai program melukis yang kita anjurkan,” kata Haji Kamaruzzaman Ismail, Ketua Amanah kawasan Kota Bharu.
Menurutnya Amanah Kota Bharu asalnya merancang sambutan ulang tahun secara kecil-kecilan dan dibuat dalam bangunan sahaja.
“Apabila kami memaklumkan cadangan kepada penduduk Dusun Muda, mereka sepakat mahu majlis dibuat dengan lebih meriah dan mencadangkan acara-acara yang melibatkan lebih ramai penduduk,” katanya.
Selain acara mewarna dan melukis untuk kanak-kanak, turut serta kumpulan nasyid wanita dan program jamuan rakyat.
“Kita berterima kasih kepada penduduk yang bertungkus lumus menyiapkan gulai dan hidangan untuk semua yang hadir.
“Mereka telah bertungkus lumus daripada menyembelih lembu hingga siap juadah untuk kita kemua,” kata Kamaruzzaman.
Selepas solat Jumaat majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin nasional parti Amanah.
Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Haji Anuar Tahir turut hadir.
Lebih menggembirakan adalah kemunculan Datuk Husam Musa yang pertama kali muncul dengan baju rasmi parti berwarna oren.
Acara kemuncak adalah ‘Walk for Amanah’ yang melibatkan semua peringkat bersama belia dan kanak-kanak di sekitar Kota Bharu. Malaysia dateline