Wisma Tok Guru merupakan nama yang dirasmikan menggantikan nama pejabat Dun Salor, dan kini menjadi pusat aktiviti Parti Amanah Negara (Amanah).
Adun Tunggal Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, nama ini diperolehi untuk memperingati Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah menunjuk jalan kepada rakyat Kelantan tentang aplikasi amalan Islam yang sebenar di zaman sekarang.
“Bagaimanapun nama ini juga kita akan gunakan untuk mengingati jasa dan sumbangan tok-tok guru yang begitu banyak memberi sumbangan kepada Islam dan masyarakat di sekitar Dun Salor ini,” kata beliau di hadapan lautan hadirin di majlis sambutan yang diadakan khusus sempena beliau menyertai Amanah malam tadi..
Menurut Dato Husam, antara tok guru yang dikenali di sekitar Dun salor seperti tok guru Leh Muda di mana sezaman dengan Tok Kenali.
“Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang pusaka.
“Hal ini terbukti pada ketika dahulu, beliau telah dibawa untuk menyelesailkan masalah pembahagian harta pusaka sekumpulan pedagang Arab di Singapura,” katanya.
Selain itu, Wisma Tok Guru turut akan menjadi sebagai Pusat Perkhidmatan Rakyat (PPR) kepada rakyat Kelantan dengan mengambil kebajikan rakyat, isu-isu semasa sebagai urusan asas.
“Operasi PPR ini akan bermula pada awal bulan hadapan.
“Tambahan, untuk memudahkan segala urusan maka diwujudkan “Online Survey” untuk rakyat di Kelantan mahupun rakyat Kelantan di luar,” katanya.
Pusat itu katanya akan memberi khidmat mendengar keluhan rakyat Kelantan, meninjau permasalahan, berkongsi penderitaan, mencari penyelesaian dan membawa harapan kepada rakyat.
“Semua ini bertujuan membantu rakyat untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Dengan tertubuhnya PPR itu menurut beliau dapat membuktikan bahawa konsep Kerajaan tanpa kerajaan yang ingin dilakukan oleh Amanah dapat memberi manfaat kepada rakyat serta menunjukkan kesediaan untuk mentadbir kelak.