Sektetariat Pakatan Harapan hari ini mencadangkan supaya kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor secara keseluruhannya membuat bantahan terhadap persempadanan semula yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua setiausahanya, Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media di ibu pejabat PKR berkata cadangan itu akan menjadi satu daripada 10 hasil mesyuarat yang bakal dikemukakan kepada mesyuarat majlis presiden gabungan itu.
“Ada kemungkinan bahawa kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang … saya kata bahawa ada kemungkinan kerana ini adalah cadangan kami (untuk menentang persempadanan semula yang dicadangkan oleh SPR).
“Oleh kerana mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan, kerajaan negeri boleh membantahnya (persempadanan semula),” kata Saifuddin.
Katanya, sekretariat itu juga akan mencadangkan kepada majlis tempatan untuk membuat bantahan yang sama.
Ini di sebalik bantahan individu yang difailkan oleh semua ahli parlimen HARAPAN di kawasan masing-masing, katanya.
“Semua parti HARAPAN akan memfailkan bantahan di kawasan pilihan raya masing-masing yang kita akan selaraskan sesama kita.
“Mungkin di sesetengah kawasan, terdapat juga lebih daripada satu pihak (memfailkan bantahan),” katanya.
Semua ahli parlimen HARAPAN juga telah diarahkan untuk menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan memohon untuk peta kawasan mereka, untuk membantu pengundi memfailkan bantahan.
Selain daripada penyelarasan antara pihak HARAPAN, Saifuddin berkata, mereka juga bekerjasama dengan NGO Tindak Malaysia dan BERSIH serta Majlis Peguam.