Pendedahan oleh GFI (Global Financial Integrity) baru-baru ini bahawa RM888 billion wang haram mengalir dari Malaysia keluar negara antara tahun 2000 dan 2008 mengejutkan banyak pihak.
Apatah lagi pengaliran wang keluar itu disedari oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, dan Bank Negara Malaysia memiliki data mengenainya. Keengganan Menteri Kewangan untuk menyiasat perkara berkenaan menjerumuskan kerajaan BN ke dalam kancah syak wasangka bahawa aktiviti di sekitar penghasilan dan pengaliran keluar wang haram tersebut dilindungi.
Menurut Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli, wang haram biasanya dijana dari sumber rasuah, kecurian dan pengelakan cukai yang sinonim dengan praktik ahli politik pemerintah dalam sistem ekonomi kapitalisme kroni di Malaysia.
“Laporan GFI perlu diberi perhatian berat kerana kaedah dan data yang digunakan adalah benar dan diterimapakai di seluruh dunia. Kaedahnya berdasarkan model Bank Dunia yang merujuk kepada perubahan di dalam hutang luar negara melalui data Imbangan Pembayaran Negara bagi menentukan ketirisan wang dan modal yang tidak dilaporkan mengikut undang-undang.
“Ketirisan wang dan modal ini disembunyikan dari pihak berkuasa kerana ia selalunya bersabit sumber rasuah, kecurian dan pengelakan cukai. Maka kenyataan seorang Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa yang mempersoalkan kesahihan model ini menunjukkan kedangkalan beliau sendiri. Datanya pula adalah data rasmi yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dari semasa ke semasa,” kata Rafizi.
Tegas beliau, sekiranya Menteri Kewangan tidak berniat melindungi perkara tersebut maka siasatan rasmi perlu dibuat segera setelah statistik rasmi Bank Negara Malaysia sendiri menunjukkan angka negatif besar ‘kesilapan dan ketinggalan’ dalam Imbangan Pembayaran Negara yang telah berlanjutan sejak tahun 2005.
“Statistik ‘kesilapan dan ketinggalan’ dalam Imbangan Pembayaran Negara mengambil kira anggaran statistik dan laporan aliran wang keluar masuk yang tidak dilaporkan sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia. Maka, angka negatif kesilapan dan ketinggalan bermaksud sama ada aliran wang tunai keluar yang dilaporkan adalah lebih rendah dari aliran wang tunai keluar yang sebenarnya berlaku atau aliran wang tunai masuk adalah lebih tinggi dari yang sebenarnya masuk atau gabungan kedua-duanya,” katanya lagi.
-
Tahun
Angka negatif “Kesilapan dan Ketinggalan” dalam RM billion
2005
27.8
2006
27.4
2007
17.8
2008
29.9
2009
17.9
Sumber: Bank Negara Malaysia, November 2010
Malangnya, kata Rafizi, Najib lebih berminat menyalahgunakan saluran diplomatik meminta kerajaan Arab Saudi menyiasat dakwaaan kononnya Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim menerima sumbangan dari dua putera Arab Saudi untuk dana kempen pilihanraya ke-13. Najib terlalu taksub memfitnah lawan politiknya sedangkan dalam masa yang sama memejamkan mata mengenai wang haram yang berlegar di dalam ekonomi Malaysia.
“Adalah lebih baik sekiranya Perdana Menteri menumpukan tenaganya memperbetulkan ekonomi negara dan bertindak segera ke atas pendedahan yang dibuat dalam laporan GFI. Usahlah menghabiskan wang negara mengunjungi negara-negara asing dan menyalahgunakan saluran diplomatik untuk menjaga tepi kain Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terbukti fitnah Umno-BN selama ini bahawa Pakatan Rakyat menggunakan saluran antarabangsa demi kepentingan politik tidak ubah seperti meludah ke langit terkena muka sendiri. Kini, Presiden BN pula sibuk memohon simpati dan bantuan antarabangsa untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim,” sindir Rafizi.