Persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya didakwa akan menyebabkan dua kerusi DUN milik pembangkang di Perak ‘hilang dengan mudah’ dalam pilihan raya umum ke 14.
ADUN Canning Wong Kah Woh berkata, PH akan kehilangan kerusi tersebut kerana berlakunya pengurangan pengundi yang dibawa keluar dari DUN terbabit.
“PH akan kehilangan dua buah kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak iaitu Changkat Jering dan Sungai Rapat di mana ramai pengundi telah dikeluarkan dari dua kawasan tersebut,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manakala di Pulau Pinang pula, kerusi DUN Paya Terubong dan Air Putih akan menerima kesan persempadanan semula jika ia diluluskan kerana pengundi di Paya Terubong akan meningkat kepada 41,000 dan di Air Putih pula jumlah pengundi akan dikurangkan sehingga 12,000.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung parti DAP telah mengumumkan kerajaan negeri Pulau Pinang akan membantah cadangan persempadanan semula ini.
Parti-parti politik, pihak berkuasa tempatan dan 100 orang pengundi yang terlibat boleh membantah dalam tempoh waktu diberikan SPR sehingga 15 Oktober depan bagi mengembalikan semula persempadanan yang munasabah dan realistik.