Penganalisis politik, Tang Ah Chai meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan menemui laluan sukar untuk meraih kemenangan pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) jika gabungan itu gagal dalam rundingan dengan PAS berhubung pembahagian kerusi.
Tang berkata untuk negeri Selangor, PAS mungkin berganding bahu dengan Umno dan ini pasti akan menjejaskan kedudukan PH dan jika PAS bertanding secara bersendirian pun, pertandingan 3 penjuru (BN, PAS dan PH) juga akan menguntungkan BN kerana undi akan dipecah-belahkan untuk membantu BN muncul sebagai juara.
“Pakatan juga harus menimbangkan isu pencalonan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga akan memainkan peranan penting dalam PRU14 nanti,” sambung Tang.
Pengarah Komunikasi Amanah, Ir Khalid Samad ‘tidak berani’ meramalkan nasib PH dalam PRU ke 14 kerana sikap flip flop Pas dalam isu kerjasama dengan PH.
“Kalau koalisi PH bersama dengan PAS dan PPBM mempunyai hala tuju yang sama, kami akan menang tetapi adalah susah untuk membuat ramalan sekarang kerana PAS mungkin menjadi ‘spoiler’ atau pihak yang memecahbelahkan undi,” ujar Khalid.