Persempadanan semula yang dilakukan suruhanjaya pilihan raya (SPR) ditentang oleh kebanyakan parti-parti politik kecuali Umno.
Persempadanan itu sengaja mengubah jumlah pengundi Cina yang dikelompokkan di kawasan yang mana BN mustahil menang. Sementara undi Melayu ditambah di kawasan yang Umno dijangka berpeluang menang.
Salah seorang yang menjadi mangsa persempadanan itu adalah ahli parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad. Menurut beliau 10,000 pengundi di kawasan yang beliau dipindahkan ke kawasan parlimen lain.
“Seramai 10,000 pengundi Cina dari kerusi parlimen Shah Alam dipindahkan ke Klang. Kebetulannya pada pilihan raya umum yang lalu, saya menang dengan kira-kira 10,000 undi.
“Dan kebetulan pula orang yang menyokong saya telah dipindahkan ke kawasan lain. Saya dapat perhatikan bahawa strategi di sini ialah kawasan yang pihak lawan (Umno) pasti akan kalah telah dilambakkan dengan ramai pengundi bukan-Melayu sementara di kawasan yang pihak lawan mempunyai peluang meraih kemenangan, pengundi bukan-Melayu telah dikurangkan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid menegaskan ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan akan mendapatkan 100 orang pengundi di kawasan masing-masing serta membuat bantahan sebelum 14 Oktober yang akan datang.
“Kalau persempadanan baru dilaksanakan, pihak lawan mempunyai kelebihan berlipat-ganda. Kita di PH tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana kalau perubahan kerajaan tidak dilakukan dalam pilihan raya umum yang akan datang maka negara kita akan menjadi sebuah negara gagal,” tambah beliau.
Seorang penganalisis politik bernama Robert Soo pula berpendapat sekiranya Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Selangor tidak dibubarkan sekarang, kebarangkalian adalah tinggi Pakatan akan kalah di kedua-dua negeri itu pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti jika persempadanan baru dilaksanakan.