Penarikan balik saman secara sukarela terhadap lapan defendan di Amerika Syarikat untuk membawa balik wang 1MDB adalah untuk membolehkan ianya difailkan kembali ekoran perkembangan terkini, kata Datuk Husam Musa.
Ini berikutan keputusan mahkamah di sana yang membenarkan Red Granite, syarikat penerbitan filem yang diasaskan oleh anak tiri Perdana Menteri dibenarkan meneruskan operasinya selain dari dua filem yang berkaitan dengan 1MDB iaitu The Wolf of Wall Street dan Friends With Kids.
“Apa yang berlaku adalah penarikan balik secara sukarela atau VOLUNTARY DISMISSAL di bawah Rule 41(a)(1)(A)(i) of the Federal Rules of Civil Procedure, Amerika Syarikat, tanpa prejudis.
“Ini bermakna kami dibenarkan untuk memfailkan semula kes ini,” kata Husam Musa dalam kenyataannya bagi menjelaskan kenapa beliau bersama Matthias Chang menarik balik saman itu sebagaimana dilaporkan Holywood Reporter hari ini.
Hollywood Reporter melaporkan hari ini, Husam dan Matthias menarik balik saman ke atas penerbit filem The Wolf of Wall Street dan tujuh defendan yang lain.
Sebab Husam dan Matthias membatalkan tindakan undang-undang tidak jelas, lapor portal hiburan terkenal itu.
Red Granite Pictures dinamakan dalam dokumen Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengaitkan filem ini dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Husam dan Chang memfailkan saman di mahkamah New York pada 11 Ogos lalu, selepas DOJ menyeret syarikat itu dalam isu penyelewengan dana 1MDB.
Mereka menuntut ganti rugi dari lapan defendan itu kerana menyebabkan kerugian ke atas rakyat Malaysia dan skandal 1MDB.
Menurut laman hiburan terkenal dari Amerika itu, Jabatan Kehakiman (DOJ) masih menyiasat sumber kewangan syarikat filem itu namun membenarkan ia meneruskan aktivitinya kerana fokus hanya diberikan kepada filem The Wolf of Wall Street.
Menurut Husam, antara lain tindakan ini diambil kerana perkembangan terbaru berkait kes DOJ termasuk Red Granite yang telah bersetuju memasukkan permohonan bersama DOJ untuk menghadkan pembekuan akaun dan pendapatan Red Granite kepada filem The Wolf of The Wall Street dan Friends With Kids sahaja.
Akaun keseluruhan Red Granite dan pendapatan Red Granite dari filem lain adalah dilepaskan.
Menurut Husam, filem Friends With Kids adalah pertama kali diketahui ada kaitan dengan wang berasal dari 1MDB, seperti kenyataan dalam permohonan bersama antara Red Granite dan DoJ itu.
“Permohonan bersama ini menunjukkan Red Granite, untuk satu tahap tertentu mengakui dua filem ini ada sebab untuk dinamakan oleh DOJ dalam saman mereka,” kata Husam.
Hakim Mahkamah Central District of California, Western Division pada 16 Ogos 2016, telah memberikan perintah seperti permohonan bersama itu.
Antaranya, hanya akaun dan pendapatan dari kedua filem itu yang dimasukkan ke dalam akaun khas sementara menunggu keputusan perbicaraan penuh.
“Oleh itu, kenyataan Red Granite bahawa saman kami adalah fractious adalah tertolak,” katanya.
Jika tidak, katanya, mengapa Red Granite memasukkan permohonan bersama dengan DOJ selepas DOJ memasukkan permohonan ex parte ke atas Red Granite sebelum itu.
“:Kami perlu menyesuaikan saman ini dengan perkembangan-perkembangan ini, tanpa melupuskan usaha kami untuk membawa pulang harta dan wang yang diselewengkan dari 1MDB,” katanya.
Menurut Husam, usaha ini sepatutnya DILAKUKAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA sebagai pihak yang diamanahkan memelihara kepentingan negara ini.
“Malangnya, kerajaan tidak berbuat demikian. Seakan mereka bergembira wang negara ini hilang begitu sahaja dan berharap kes penyelewengan wang negara ditutup begitu sahaja.
“Harapan itu adalah sia-sia,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Husam berkata, respon segera Datuk Salleh Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia memeranjatkan beliau.
“Ia menunjukkan saman kami untuk membawa pulang aset dan wang yang diselewengkan dari 1MDB meninggalkan kesan ke atas kerajaan.
“Namun begitu, kenyataan bahawa saman kami ditolak adalah tidak tepat,” katanya.