Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan masih belum memutuskan sama ada akan menyertai PKR atau DAP, selepas FMT memetik sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menceritakan kekecewaan bekas pemimpin Umno itu terhadap pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tiada komen,” jawab bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu ringkas ketika dihubungi FMT.
“Saya akan mengeluarkan kenyataan nanti. Apa-apa tindakan saya hanya untuk kepentingan negara dan Dr Mahathir,” kata Khairuddin, yang mengaku penyokong tegar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengerusi PPBM.
Sumber FMT sebelum ini melaporkan Khairuddin kecewa dengan sikap Muhyiddin dalam memimpin PPBM yang baru berusia 3 minggu itu.
Muhyiddin didakwa tidak mahu berbincang dengan beberapa pemimpin utama, termasuk bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di samping sikapnya mengenepikan “orang Mahathir” dalam parti tersebut.
Khairuddin juga dikatakan tidak setuju Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi PPBM, terlalu bertolak ansur dengan Muhyiddin.
Keadaan itu dikatakan hampir memaksa Khairuddin, yang selama ini belum menyertai PPBM walaupun aktif dalam Deklarasi Rakyat sebelum ini, untuk mempertimbangkan menyertai PKR atau DAP meneruskan perjuangannya menentang Datuk Seri Najib Razak.
Khairuddin yang sebelum ini lantang bersuara bagaimanapun semakin tidak menonjol sejak pendaftaran PPBM diluluskan awal bulan ini.
Beliau dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dikatakan menjadi “orang tengah” yang mengatur pertemuan bersejarah Dr Mahathir dan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Mahkamah Tinggi pada 5 September lepas.
Sumber FMT turut mendedahkan PPBM bakal berdepan pemberontakan dalaman disebabkan tidak puas hati dengan kepimpinan Muhyiddin.