Pakatan Rakyat hari ini meminta pihak polis membebaskan semua tahanan yang masih ditahan dilokap atas tuduhan menyokong perhimpunan Bersih. Hal itu berikutan persetujuan penganjur perhimpunan Bersih semalam untuk mengikuti nasihat Yang Dipertaun Agong agar tunjuk perasaan diadakan di stadium.
Menurut beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat, sebaik sahaja perhimpunan yang dimomokkan sebagai haram menjadi halal maka tidak sah lagi sekatan terhadap pemakaian baju T bersih, penjualannya dan penahanan orang ramai kerana menyokong perhimpunan haram.
“Kesediaan Pakatan Rakyat perlulah disambut oleh pihak berkuasa dengan menghentikan pendekatan keras yang diambil setakat ini. Ketiga-tiga parti bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang lain bagi memastikan perjalanan perhimpunan itu nanti boleh berjalan dengan baik dan aman.
“Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat menyeru supaya kesemua individu yang ditahan kerana BERSIH2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka digugurkan,” kata satu kenyataan media yang dikeluarkan bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok.
Kenyataan itu juga kekal menuntut agar dilakukan reformasi ke atas sistem pilihanraya Malaysia sepertimana yang dituntut Bersih agar negara kekal berada dalam keadaan yang dihormati rakyat serta pihak luar.
“Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa tuntutan reformasi dalam sistem pilihanraya negara agar bersih, telus dan adil kekal sebagai matlamat perhimpunan tersebut. Proses reformasi ini perlu dilaksanakan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-13 bersesuaian dengan lapan tuntutan BERSIH2.0 dan memerlukan komitmen Perdana Menteri; selain dari komitmen sedia ada beliau untuk menawarkan stadium bagi perhimpunan aman BERSIH2.0,” kata kenyataan tersebut.