Pemuda AMANAH Negeri Perak menasihatkan Komponen Barisan Nasional (BN) jangan tertipu dengan kenyataan bantahan daripada Umno tentang syor persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di dalam media ketika ini.
Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak Safarizal Salleh berkata, komponen BN harus menerima hakikat bahawa syor persempadanan semula kawasan pilihan raya ini jelas ‘membunuh’ mereka dan hanya menguntungkan Umno .
“Cara dan kaedah yang disusun sebenarnya menyusun lokaliti di dalam Daerah Mengundi dan membuat blok-blok berdasarkan kaum serta melihat berdasarkan corak kemenangan atau kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke – 13 (PRU13) dahulu dengan memastikan majoriti DUN pada PRU14 nanti.
“Bagi Pemuda AMANAH Perak, kerusi Komponen BN yang ditandingi oleh MCA, MIC, GERAKAN dan PPP terkesan berikutan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya ini dan dengan kata lain bahawa mereka semua bakal menerima kekalahan pada PRU14 akan datang ini.
“Justeru itu, semua komponen BN wajar membuat bantahan rasmi dan bukannya menggunakan media semata-mata dengan perlu menggerakkan pemilih yang berdaftar agar membuat bantah supaya syor persempadanan semula kawasan pilihanraya itu ditolak sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Safarizal menambah SPR perlu mengumumkan keputusan bantahan yang diterima pada 15 Oktober 2016 bagi membuktikan adakah benar bahawa Umno benar-benar menghantar bantahan atau hanya ‘berlakon’