Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti pembangkang akan membentuk pakatan baharu menjelang akhir tahun ini apabila semakin ramai ahli daripada parti diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan bertukar ‘kapal’.
Pakatan itu menyasarkan untuk menyingkir Najib, yang kekal teguh memegang kuasa meskipun berdepan tekanan meletak jawatan susulan skandal kewangan berbilion dolar, serta menyingkirkan gabungan parti pemerintah, diketuai Umno.
“Parti itu berdepan sokongan yang semakin berkurangan dan ramai tidak pasti sama ada Umno akan bertahan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” kata Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri.
Ramai juga melihat beliau sebagai bakal perdana menteri daripada pihak pembangkang.
PRU akan datang dijangka sebelum hujung 2018 dan Najib, ketika lawatannya di Berlin berkata, beliau tidak bercadang mengadakan PRU lebih awal.
Dalam temu bual bersama Reuterus, Muhyiddin tidak menyatakan mana-mana pemberontak dalam Umno yang berpotensi menyertainya memandangkan parti baharunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), baru 2 minggu didaftarkan.
“Ramai pemimpin Umno berminat menyertai PPBM kerana tidak selesa dengan masalah dihadapi parti pemerintah kerana imej Najib yang tercemar,” kata Muhyiddin.
Najib menafikan sebarang salah laku.
Seorang jurucakap kerajaan menolak kenyataan Muhyiddin yang menyatakan ia hanya helah untuk membangkitkan semula kariernya.
“Sudah lebih setahun Muhyiddin dakwa yang pemimpin Umno, dan rakyat Malaysia hendak masuk parti itu.
“Ini membuktikan ia hanya angan-angan, dengan BN memenangi semua 3 PRU dan parti itu semakin bersatu,” kata jurucakap itu.
Parti baharu itu dipengerusikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Anaknya, Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah, juga menjadi ahli parti itu.
Pemimpin pembangkang sedar mereka perlu bekerjasama untuk mengelak pertandingan banyak penjuru yang boleh memecahkan undi dalam PRU, kata Muhyiddin.
“Saya mahu lihat pakatan ini ditubuhkan tidak lama lagi, sebelum akhir tahun,” katanya.
Muhyiddin disingkirkan daripada Kabinet tahun lalu, dan kemudian Umno, kerana mempersoalkan cara Najib mengendalikan skandal 1MDB.
Tekanan semakin tinggi terhadap Najib selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan tuntutan saman sivil memohon untuk menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Sejak penyingkirannya daripada Umno, Muhyiddin menjadi jambatan untuk membaiki keretakan dalam parti pembangkang selepas terkuburnya Pakatan Rakyat tahun lalu.
Dr Mahathir bulan lalu berjabat tangan dengan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam penjara, dan ia menjadi isyarat pembuka jalan untuk pakatan antara Anwar dan PPBM.
Anwar yang menerajui pakatan pembangang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya pada 2013.