Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan pelantikan perdana menteri interim jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.
Ketua Sekretariat HARAPAN Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata pelantikan itu boleh dilakukan sementara menunggu pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
“Calon HARAPAN untuk perdana menteri adalah Anwar Ibrahim.
“Jika dia tidak dapat mengambil jawatan itu kerana dia berada dalam penjara, kita boleh mempunyai perdana menteri sementara,” tulis Saifuddin di Facebook.
Cadangan itu dibuat susulan kenyataan penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa presiden pro-tem parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi PM jika pembangkang menang pilihan raya.
Bagaimanapun, Mahathir berkata ia bergantung persetujuan parti-parti pembangkang.
Saifuddin mengambil contoh di Turki apabila Tayyip Erdogan dihalang daripada menjadi perdana menteri selepas partinya memenangi pilihan raya pada tahun 2002 kerana diharamkan memegang jawatan politik.
Abdullah Gul dilantik bagi pihak Erdogan dan menjadi PM interim sehingga kerajaan membatalkan sekatan terhadap Erdogan pada tahun 2003.
“Tapi hari ini, elok fokus tubuh gabungan pembangkang yang lebih besar dahulu ,” kata Saifuddin.