Pemuda AMANAH Negeri Perak menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan segera sistem pendaftaran pengundi secara automatik sebagaimana dilaksanakan di negara-negara maju.
Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak Safarizal Salleh berkata, pendaftaran automatik mampu menyelesaikan isu rakyat yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar selepas mencapau umur 21 tahun.
“Ramai lagi mereka yang berkelayakan masih belum mendaftar dan tidak pula SPR mensyorkan langkah-langkah yang mudah untuk memastikan rakyat boleh didaftarkan secara automatik setelah melepasi umur 21 tahun.
“Sebelum ini kuasa untuk mendaftar diberikan kepada semua Parti Politik dan ada juga diberikan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGOs) tetapi malangnya tidak diberikan lagi seolah-olah SPR tidak fokus untuk memastikan rakyat boleh mendaftar dengan mudah kerana langkah yang ada kini amat menyukarkan.
“Pemuda AMANAH Perak meminta agar SPR membuka ruang lebih mudah kepada rakyat yang ingin mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian bagi memastikan rakyat mudah mendaftar sebagai pemilih,” katanya dalam satu kenyataan.