Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat itu yang tidak membaca meter di kediaman mereka untuk sebulan di kawasan tertentu, dengan alasan sedang menaik taraf sistem pengebilan baharu.
Seorang pelanggan, Pauline Tan, 44, berkata meter elektrik di kawasan perumahannya di Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur tidak dibaca sejak bacaan terakhir pada 16 Ogos lalu.
“Adakah ini bermakna bacaan meter elektrik akan dibuat 2 bulan sekali mulai bulan September ini?
“Kalau begitu, maka amat teruklah untuk rakyat yang berpendapatan rendah sebab kita akan terpaksa bayar lebih. Bil saya untuk 1 bulan kira-kira RM50 dan tidak dikenakan GST sebab kegunaannya di bawah 300kwh.
“Tetapi jika bacaan diambil dalam 2 bulanmaka pasti saya akan dikenakan GST. Selain dari itu, ia akan lebih dari 300kwh atau RM70 dan memasuki kadar harga yang lebih tinggi. Bil elektrik saya pada keseluruhannya akan menjadi 2 atau 3 kali ganda daripada biasa,” kata Pauline.
Beliau bertanya adakah kerajaan menggunakan cara berkenaan untuk mengaut lebih keuntungan?
Katanya, dakwaan itu tidak mustahil kerana sebelum ini Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan bekalan air bagi tempat ibadat, rumah kebajikan dan apartment juga telah dikenakan GST mulai bulan September.
“Sudah jelas sekarang kerajaan sedang menggunakan berbagai cara untuk menggorek saku rakyat dan mereka kini sudah berlagak sombong serta tidak lagi mempedulikan nasib rakyat,” sinis Pauline sambil berkata rakyat Malaysia sangat bodoh jika masih ‘gemar’ dibebankan dengan berbagai kos yang menjerut leher mereka.