Oleh: Wira Rakyat
Tindakan polis mempersalahkan ketegasan Bersih meneruskan untuk berhimpun di Stadium Merdeka sesuatu yang tidak seharusnya berlaku jika polis faham semangat demokrasi. Pasukan beruniform kebelakangan ini kelihatannya tidak langsung mahu ambil tahu apa yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan. Mereka hanya memahami Akta Polis dan Akta Darurat. Hanya negara komunis dan diktator sahaja yang terlalu mengambil kira akta-akta keras seperti itu.
Tujuannya tidak lain daripada memenjarakan minda dan aksi rakyat. Sia-sia sahaja Malaysia mengaku mendukung ideologi demokrasi. Juga sia-sia negara ini menghadiri sebarang persidangan hak asasi di peringkat antarabangsa. Sedangkan polis dan kini askar hanya dilatih untuk bertindak kasar walaupun terhadap ancaman yang tidak jelas.
Memilih stadium samalah dengan berhimpun secara aman. Perhimpunan aman berkali-kali telah diulang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Iaitu hak-hak masyarakat awam untuk menunjuk perasaan menyatakan bantahan. Sama ada polis mengeluarkan permit atau tidak, hak itu tidak luput. Jika di negara yang maju demokrasinya polis tiada hak menangguhkan pengeluaran permit sekiranya perhimpunan itu tidak akan menjadi buruk dan menimbulkan kekacauan.
Di Malaysia ceramah Pakatan Rakyat yang tidak merugikan sesiapa pun tidak diberikan permit apatah lagi perhimpunan bantahan yang melibatkan PR. Di sinilah kelihatan betapa ceteknya minda polis menilai keadaan. Mungkin masih boleh diterima saranan Yang Dipertaun Agong agar hak berhimpun itu dikendurkan kerana pertembungan dengan Perkasa akan mencetuskan ketegangan. Tetapi Perkasa memang ditaja oleh Umno untuk menimbulkan huru-hara. Buktinya pemimpin utama pertubuhan itu didakwa banyak pihak sebagai perancang huru-hara di Kelantan pada 1978 yang menyebabkan Umno-BN mengisytiharkan darurat dan menyingkirkan kerajaan PAS ketika itu.
Walau apa pun, Bersih telah menerima cadangan penyelesaian berhimpun di stadium. Perkata itu dilihat tolak ansur yang baik dan berhikmah. Namun bukan bagi pemimpin BN, mereka tidak mahu sama sekali perhimpunan yang menunjukkan kekuatan lawan berlaku. Menteri Dalam Negeri menghalang sebarang perhimpunan di Kuala Lumpur, meneruskan sekatan jalan dan menangkap pemakai baju kuning. Apa makna semua itu?
Bersih mahukan Stadium Merdeka sebagai tempat berhimpun. Kerajaan menekan pihak pengurusan agar tidak memberikan stadium. Bersih berhak menggunakan mana-mana stadium dalam penyelesaiannya dengan Agong. Bebas memilih dan bergerak adalah hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Polis tidak ada alasan lagi untuk tidak membenarkan. Alasan ekonomi tidak kukuh untuk menolak perhimpunan kerana perhimpunan tajaan Umno pada hujung Jun lalu juga menggugat ekonomi tetapi tidak dihalang polis.
Tegahan polis Kuala Lumpur sesak dan himpunan perlu beralih ke Shah Alam juga tidak masuk akal. di Jakarta, Indonesia misalnya kesesakan lulu lintas lebih teruk dari Kuala Lumpur tetapi perhimpunan aman dibenarkan hampir setiap minggu. Perhimpunan juga dilakukan oleh dua kumpulan yang bertentangan di lokasi yang tidak jauh. Polis bertindak sebagai pengadang dari dua kumpulan bertembung. Itu sahaja.
Pemindahan lokasi ke Shah Alam sebenarnya tidak menjamin apa-apa. Polis boleh melakukan banyak sekatan jalan raya menghala ke Shah Alam. Perkara itu pernah berlaku pada awal 2000 lalu apabila perhimpunan di Jalan Kebun Shah Alam digagalkan, ia berakhir di lebuhraya Kesas.
Regim BN dan polis tidak boleh dipercayai dalam mengotakan janji-janji. Apatahlagi dalam latihan bersama polis dan tentera beberapa hari lalu mereka sengaja memaparkan banner ‘jika tidak bersurai kami akan tembak’, pasukan keselamatan berkhidmat menjaga rakyat dan dibayar dengan wang cukai rakyat akhirnya mahu menembak rakyat.
Tentu sahaja rakyat perlu menyokong Bersih walaupun terpaksa meredah ‘kesesakan’ ke Stadium Merdeka. Hanya dengan pameran kekuatan rakyat boleh mengubah sedikit senario pilihanraya akan datang. Sekiranya pilihanraya benar-benar bersih maka tentu sekali polis dan tentera menjadi milik rakyat sebagaimana termaktub dalam perlembagaan bukannya milik elit Barisan Nasional yang melantik diri mereka menjadi penguasa segalanya.