Polis tanpa pertimbangan yang merujuk perlembagaan negara telah menolak permintaan Bersih untuk membuat perhimpunan aman di Stadium Merdeka esok. Ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah memberitahu wartawan beliau ke ibu pejabat polis Dang Wangi bagi menerima surat yang memaklumkan gabungan itu bahawa permohonan permit mereka telah dinafikan.
Bagaimanapun beliau mempertahankan kenyataan bahawa polis sebelum itu memberitahu mereka bahawa permit telah diluluskan.
Menurut laman twitter Bersih, NGO itu mendapat panggilan telefon dari Balai Polis Dang Wangi, supaya wakil NGO itu hadir untuk mengambil permit berkenaan.
“BERITA BAIK! Balai Polis Dang Wangi telefon Bersih, minta kami datang ambil permit untuk himpunan aman di Stadium MERDEKA! Kini terserah kepada PM & Pengurusan Stadium Merdeka untuk membuat langkah sepatutnya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya tidak menyedari bahawa permit telah diluluskan.
Difahamkan, Jawatankuasa Pemandu bersih kini sedang mengemukan rayuan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Tunjuk perasaan Bersih di Australia
Menurut Tian Chua, walau apapun terjadi, Bersih tetap akan berhimpun di Stadium Merdeka, esok dan mengarahkan peserta supaya berkumpul di tiga lokasi iaitu, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pudu Plaza.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Pakatan Rakyat kira-kira 30,000 penyokong Bersih telah pun tiba di kuala Lumpur. Beberapa puluh ribu lagi sedang dalam perjalanan dan akan tiba esok hari. Pasukan peguam Pakatan Rakyat sebanyak 200 orang juga telah tiba di Kuala Lumpur untuk bersedia menangani kes-kes tangkapan di sepanjang tunjuk perasaan Bersih .