Pakatan Harapan boleh membantu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Sabah sekiranya ia menarik diri bertanding di negeri itu bagi memberi laluan kepada sebuah gabungan pembangkang berbilang bangsa yang diketuai Datuk Seri Shafie Apdal, kata seorang pemerhati politik.
Dr Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata peningkatan sentimen nasionalis Sabah dan Sarawak bermakna isu tempatan semakin diutamakan pengundi.
Ini, katanya, menjadikan parti lain dianggap pihak luar.
Awang Azman mengulas siri perletakan jawatan pemimpin PKR dan DAP Sabah yang mahu menyertai parti pembangkang berasaskan negeri.
“BN Sabah tidak banyak bercakap soal autonomi,” katanya kepada FMT.
“Ini senjata yang akan digunakan Shafie.”
Menurutnya, sentimen tempatan memberikan impak seperti dibuktikan pada pilihan raya negeri Sarawak Mei lalu, yang menyaksikan kemenangan BN di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem.
Awang Azman percaya Shafie merancang menyatukan semua pembangkang Sabah.
Beliau berkata Pakatan tidak dapat bertahan dalam pertandingan lebih 2 penjuru, dan perlu berunding dengan Shafie.
“Di Sabah, Pakatan boleh mempertimbangkan menarik diri dan menyerahkan tugas melawan BN kepada Shafie,” katanya.
Bagaimanapun, Pakatan masih boleh berfungsi di Sarawak disebabkan ketiadaan kepimpinan pembangkang.
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir mengkritik PKR dan DAP kerana tidak memperkasakan jentera mereka di Sabah.
“Kepimpinan kedua-dua parti tidak menggunakan sumber kewangan yang mereka ada di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya, yang menambah Pakatan sepatutnya menumpukan dana lebih dalam membina jentera pilihan raya di Sabah.
Beliau berkata walaupun PKR memberikan autonomi kepada pemimpinnya di Sabah, perlantikan Adun Klias, Datuk Seri Lajim Ukin mengepelai PKR Sabah merupakan kesilapan.
Jeniri berpendapat Pakatan perlu menyelesaikan masalahnya dan lebih menumpukan sentimen tempatan.
Beberapa pemimpin pembangkang PKR dan DAP Sabah baru-baru ini mengumumkan akan keluar parti selepas pengumuman Lajim dan Naib Presiden PKR, Darell Leiking, yang mahu meneruskan perjuangan menggunakan platform lain.
Mereka termasuk Adun Moyog Terrence Siambun, Adun Likas Junz Wong, Setiausaha Agung PKR Sabah Maijol Mahap dan Ketua Wanita PKR negeri, Johair Matlan.
Bendahari DAP Sabah David Williams dan Naib Presiden DAP negeri George Hiew turut mengumumkan keluar parti.