Apabila kerajaan tidak menjalankan tugas dan tanggung jawapnya sebagai sepatutnya, rakyat terpaksa mengambil langkah mereka sendiri.
Inilah yang biasa berlaku di seluruh dunia baik di Timur Tengah, negara Barat atau Asia. Bagi masyarakat yang bertamadun mendapat keadilan adalah hak asas dalam sesebuah negara.
Di Malaysia, BERSIH 5 akan bermula pada awal Oktober hingga 19 November ini untuk menuntut keadilan pilihanraya dan hak hak asas sebuah negara demokrasi.
Tidak cukup dengan peraturan-peraturan lama yang memberi kelebihan kepada kerajaan yang memerintah, persempadanan semula yang baru memberi lagi banyak keistimewaan tidak adil berlebihan kepada sang pemerintah.
Konsep meletakan kaum kaum tertentu dalam lokasi yang sama akan menebalkan lagi perkauman yang tidak sihat.
Ini semua menunjukan Malaysia terus mundur ke belakang sementara jiran-jiran negara Asean kita mara ke hadapan.
Mengekalkan kuasa pemerintah sekarang adalah segala galanya bagi mereka walaupun kita menuju ke arah kehancuran.
BERSIH 5 akan menjelajah seluruh Malaysia selama tujuh minggu untuk memberi kesedaran kepada rakyat.
Dalam masa yang sama gerakan “R” – tuntutan royalti minyak dan gas untuk Terengganu dan Kelantan, juga sedang giat diaktifkan kembali setelah tempoh yang agak sunyi sejak kebelakangan ini.
Kebangkitan “R” dua negeri jiran ini akan kembali semula mengoncangkan Pantai Timur dan Malaysia.
Setelah kerajaan Malaysia bersetuju atas sebahagian besar tuntutan Sarawak, kenapakah tuntutan untuk kembalikan royalti 5 peratus hasil minyak Terengganu yang telah dibatalkan tidak boleh dipersetujui?
Kenapakah hak royalti minyak Kelantan yang telah begitu lama dinafikan tidak boleh diberikan?
Bayangkan ketiga-tiga Sarawak, Terengganu dan Kelantan negeri pengeluar minyak utama negara adalah juga tiga negeri termiskin di Malaysia.
Sudah tentu rakyat mereka rasa tertipu begitu lama oleh perampas hak mereka dari Putrajaya. Rakyat mahu bangkit menuntut hak mereka. Gelombang kebangkitan rakyat telah tiba untuk kita menyahut seruan tersebut.
Jadi apa pilihan rakyat Malaysia? Berdiam diri sementara negara dirompak? Berdiam diri sementara pembuli jalanan ‘baju merah’ mengugut konvoi BERSIH 5?
Boleh menerima menteri kanan bersama pembuli ‘baju merah’ menyebarkan ketakutan kepada mereka yang berminat memprotes melalui BERSIH 5?
Sejauh mana dan sampai bila kita mesti hidup dibawah pemerintahan kerajaan sebegini rupa?
Vietnam bangkit dengan megah dari pemerintahan komunis…. Myanmar bangkit dari penindasan junta tentera yang kejam!
Malaysia makin menyerah dan tunduk kepada pemerintah rasuah dan mereka kini makin hari makin menjadi pengugut dan kaki buli.
Di mana harga diri dan kesedaran kita?
Negara Asean lain maju ke hadapan dengan kesedaran sementara kita makin lesu dan tidak bermaya.
Anak serta cucu dan cicit kita akan menyoal kita kemudian hari.
Pilihan adalah untuk kita membuat. Terus tidur dengan lena atau berdiri berhadapan dengan realiti negara di ambang kemusnahan!
Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu