DAP Johor menasihatkan pembangkang berhati-hati berunding dengan PAS bagi mencari formula 1 lawan 1 pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kerana ia lebih mementingkan kesucian sendiri daripada kerjasama dengan parti lain.
Pengarah biro pendidikan politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim berkata, kesepakatan sukar dicapai antara PAS dengan parti pembangkang lain, kerana ia dilihat lebih mesra Umno melalui isyarat jelas mereka tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan.
“Secara tidak langsung PAS memberi mesej kepada umum yang Amanah dan DAP adalah musuh PAS, bukan Umno. Ini tragedi yang pelik.
“Mesej ke-2 yang dihantar PAS kepada khalayak ialah mereka tidak peduli lagi kehendak rakyat yang mahukan pembangkang bersatu.
Sebaliknya, PAS mementingkan kesucian parti mereka daripada bekerjasama dengan parti pengkhianat Amanah dan parti kafir DAP,” katanya dalam 1 kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mahdzir menyarankan garis panduan politik yang jelas dirangka dan dipersetujui semua parti pembangkang dalam usaha merealisasikan matlamat 1 lawan 1.
“Kita mendengar PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PKR sedang memujuk dan berunding dengan PAS untuk tujuan itu, ianya usaha yang baik, kita ok, tetapi berapakah ‘kos’ yang perlu dibayar untuk memastikan PAS tidak bertembung dengan kerusi PPBM, PKR, Amanah malah DAP?
“Tanpa garis panduan politik yang jelas, usaha meyakinkan rakyat untuk mengundi pembangkang sangat sukar. Tidak kira formula 1 lawan 1 atau pelbagai penjuru, pro dan kontra formula 1 lawan 1 atau pelbagai penjuru itu memang wujud, risiko tidak dapat dielakkan.
“Hingga saat ini, belum ada jaminan pertandingan 3 penjuru dapat dielakkan. Rakyat terus menunggu apakah hasil rundingan pemimpin mereka.
“Rakyat akan lebih yakin dan mudah menolak apa jua parti yang dilihat menyokong atau mesra Umno-BN. Apakah kumpulan pembangkang bersedia dengan segala kemungkinan?” soalnya.