Amanah membentangkan cadangan balas kepada usul Presiden PAS Abdul Hadi Awang memperkasa Mahkamah Syariah.
Cadangan baharu itu mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai para ketua hakim mahkamah syariah dari setiap negeri, profesional dan agamawan serta pihak berkuasa berwajib.
Jawatankuasa khas itu diberi tanggungjawab untuk menyelia langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah, termasuk meningkatkan kecekapan melalui penajaman kehakiman para hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah.
Ia juga mahu meningkatkan pemahaman dan sokongan institusi dan jabatan kerajaan dan pihak swasta terhadap peranan Mahkamah Syariah, menilai semula skim gaji para hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah, serta menilai semula keberkesanan jenis hukuman dan had hukuman Mahkamah Syariah.
Bercakap kepada pemberita di Wisma Amanah Negara hari ini, Ketua Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata cadangan balas itu lebih baik berbanding usul Hadi, yang tidak dapat menjelaskan kehendak usul secara tepat dan boleh disalah ertikan.
“Cadangan ini jauh lebih baik kerana lebih terperinci, meliputi spektrum yang lebih luas berbanding meningkatkan hukuman sahaja dan boleh diterima oleh semua,” katanya.
Beliau berkata sekiranya Hadi ikhlas memperkasa Mahkamah Syariah, presiden PAS itu akan mempertimbangkan cadangan balas Amanah secara serius.
“Tetapi, sekiranya usul beliau sekadar politik dan hanya mahu kelihatan seperti seorang jaguh, seolah hanya beliau sahaja yang memperjuangkan Islam, maka cadangan yang kami kemukakan ini tidak akan memenuhi matlamatnya.”
Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud yang bersama sidang media hari ini berkata masyarakat bukan Islam tidak akan ada masalah dengan cadangan baharu ini.
“Sokongan orang bukan Islam sangat penting kerana kita mahu perpaduan,” katanya.
Kedua wakil rakyat itu mendedahkan Amanah berkongsi cadangan balas itu dengan parti komponen Pakatan Harapan dan mereka tidak membantah.
Ditanya sama ada Amanah akan membentangkan cadangan balasnya di Parlimen, Khalid berkata pemerintah tidak memberi sebarang komitmen untuk membenarkannya.
“Hadi diberi peluang untuk membentangkan usul peribadi jadi kami mahu beliau sebaliknya bentangkan cadangan kami.”
Bulan lepas, Amanah memohon PAS menjelaskan usul mereka secara terperinci, bukannya sekadar retorik.
Berkenaan perkara menambah hukuman jenayah syariah, Amanah menyokong atas dua sebab: pertamanya, untuk mencegah jenayah dan kedua, mengasah kemahiran mahkamah melalui perbicaraan.
Bagaimanapun, menurut Khalid, PAS belum mahu memenuhi permintaan memohon penjelasan itu.
“Sekiranya usul dibentangkan seperti sedia ada, maka kami terpaksa menolak tetapi itu pun bergantung kepada perjalanan perbahasan di Parlimen.”
Khalid berkata antara masalah Amanah berkenaan usul Hadi adalah Perkara 2a yang menyatakan terpulang kepada Mahkamah Syariah untuk menetapkan hukuman yang difikirkan layak, kecuali hukuman mati.
“Ini memberikan cek kosong kepada Mahkamah Syariah untuk menetapkan sebarang hukuman yang difikirkan layak, yang mungkin juga termasuk memotong bahagian tubuh dan apa sahaja hukuman yang terfikirkannya,” kata Khalid.