Parti-parti pembangkang di negara ini diingatkan jangan terpedaya dengan janji PM Najib kononnya pilihan raya umum (PRU) hanya akan berlaku pada 2018.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran memberi amaran PRU 14 boleh diadakan pada bila-bila masa selepas persempadanan semula diluluskan oleh Dewan Rakyat. Katanya, tempoh yang paling hampir untuk meluluskan persempadanan itu adalah pada sesi Parlimen Mac 2017.
“Pihak pembangkang patut mulakan perbincangan dan perancangan untuk PRU14 sekarang juga.
“Jangan percayakan kata-kata pihak tertentu bahawa PRU14 tidak perlu diadakan sehingga tahun 2018. Itu hanyalah strategi untuk membuat kita leka,” katanya.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Teluk Intan dan akan bertanding di Cameron Highlands kali ini memberi amaran, berdasarkan perkembangan senario politik terkini, PRU14 mungkin akan dilaksanakan sebelum April 2017. Berkemungkinan BN tidak akan membenarkan pihak pembangkang membawa kes persempadanan semula untuk diteliti di mahkamah sebelum membubarkan parlimen.
Seorang penyokong DAP, Ken Gan, 35 tahun, bersetuju dengan pendapat Manogaran itu. Katanya, BN akan menyerang pembangkang dengan pantas ketika gabungan berkenaan masih belum kukuh untuk mendapatkan kelebihan dan keyakinan pengundi.
“Pihak lawan pasti akan menyerang dengan pantas. Sekarang pun pihak pembangkang masih tidak sehaluan.
“Kita di Pakatan Harapan (PH) berhasrat untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika menang PRU14 tetapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hendak letak Muhyiddin Yassin sebagai PM,” katanya yang bekerja di bidang IT.
Penyokong PKR, Gopalsamy, seorang pemandu teksi dalam lingkungan usia 40an pula menegaskan pencalonan Anwar Ibrahim sebagai PM tidak boleh dikompromi kepada mana-mana parti.
Seorang eksekutif muda IT, Musadiq Khalid dari Shah Alam berkata, Pas akan menjadi parti yang mensabotaj kekuatan pembangkang jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat kerana rundingan dengan parti itu masih menemui jalan buntu.
“Tembok penghalang yang terbesar terhadap peluang pembangkang untuk memenangi PRU14 tidak lain dan tidak bukan ialah PAS.
“PAS kini sudah jelas kelihatan sedang menyebelahi BN dan mereka tidak menyokong program Bersih. Memang pada masa ini pembangkang masih belum bersedia menghadapi PRU14 tetapi kalau tiba-tiba Parlimen dibubarkan, kita mesti cepat membuat persediaan,” katanya yang menyokong parti Amanah.
Musadiq berpendapat pihak BN sedang berkempen untuk meraih sokongan undi semua kaum terutamanya undi Melayu yang akan memainkan peranan penting dalam PRU depan.