Pelantikan Adun Jorak Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuka lebih banyak ruang kepada BN untuk hilang suara majoriti Dewan Undangan Negeri (Dun), kata Pengerusi Amanah Negeri Johor Aminolhuda Hassan.
“Berdasarkan kepada perlembagaan parti, sekiranya seseorang Ahli Yang Berhormat menyertai parti lain, maka secara automatik keahlian parti lamanya gugur.
“Maka saya melihat berlaku kekurangan ahli Yang Berhormat di pihak kerajaan BN Negeri Johor kerana Datuk Dr. Shaharuddin telah meninggalkan Umno dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
“Ini bermakna ahli dewan undangan negeri daripada BN Johor telah berkurang dari 38 kepada 37 manakala Barisan Pembangkang bertambah dari 18 Ahli Yang Berhormat kepada 19.
“Ini juga bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah, Negeri Johor ditadbir oleh sebuah kerajaan yang tidak memperolehi 2/3 majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Semalam Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Datuk Shaharuddin Md Salleh menjawat jawatan Setiausaha Agung parti itu.
Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani berkata,implikasi utama apabila kehilangan majoriti 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri ialah Kerajaan Umno-BN tidak boleh meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Saya menjangkakan akan berlaku kejutan sebelum pembubaran Dewan apabila ada beberapa lagi Ahli Yang Berhormat dari Umno yang akan turut meninggalkan parti,” dakwanya.
Aminolhuda juga mengalu-alukan kehadiran Shaharuddin dalam barisan pembangkang di negeri itu.
“Saya mengucapkan selamat datang kepada Datuk Dr Shahruddin ke Barisan kami. Diharap kita bersama-sama dapat mengembeling tenaga menewaskan BN-Umno dalam PRU ke 14 dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan yang adil serta bersih rasuah untuk kebaikan rakyat jelata,” ujarnya.
Pada 4 Mei lalu Shahruddin memutuskan untuk melepaskan jawatannya sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Pagoh.
Ini kerana beliau menolak keputusan Majlis Teringgi Umno memecat bekas Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaupun beliau tidak mengumumkan secara rasmi akan menyertai mana-mana parti namun dengan pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung kepada parti Bersatu secara automatik keahliannya sebagai ahli Umno terlucut.