Mereka yang belum menyertai mana-mana parti politik dan masih dalam lingkungan umur 35 tahun ke bawah adalah antara yang ramai memohon untuk menyertai Parti Bumiputra Bersatu Malaysia (PBBM).
Ketua penerangan parti itu, Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata golongan itu mewakili 40 peratus daripada jumlah pemohonan sehingga ini.
“Untuk negeri Kelantan saja kita telah menerima lebih 20 ribu permohonan menjadi ahli setakat ini,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri majlis kenduri menyambut menantu ketua Amanah Pasir Puteh, Abdul Halim Muhamad semalam.
Menurutnya, jumlah ahli untuk menubuhkan semua bahagian-bahagian di Kelantan sudah mencukupi dan sekarang sedang diuruskan oleh bahagian masing-masing.
“Permohonan untuk menubuhkan cawangan juga kita terima dari hampir semua peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kita meminta semua bersabar kerana parti perlu dilengkapkan mengikut susunan supaya memenuhi peraturan ditentukan pendaftar pertubuhan (ROS),” katanya.
Ditanya mengenai persiapan pilihan raya beliau berkata, pihak PBBM akan terus berperanan bagi mengajak semua parti-parti pembangkang bertolak ansur bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya akan datang.
“Kita terbuka dan sedia bertemu dan berbincang dengan semua pihak demi merealisasikan kemenangan.
“Saya sendiri akan menghadiri majlis mana-mana parti pembangkang termasuk Pas jika menerima jemputan,” katanya.