Menjelang pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober ini, Suara pakatan daily membuat tinjauan pendapat rakyat dari pelbagai latar belakang kehidupan di sekitar Kuala Lumpur .
Daripada 30 responden yang ditinjau, majoritinya mengadu amat terkesan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian diakibatkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak April 2015 lalu.
Selain itu, kebanyakan mereka juga ingin membuat perbandingan di antara Bajet 2017 kerajaan BN dan Belanjawan Pakatan Harapan (PH) yang menurut mereka akan mempengaruhi arah sokongan pengundian sekiranya pilihan raya umum diadakan pada 2017.
Kebanyakan peserta yang ditinjau mahu GST dikurangkan ke kadar 3% dan dikekalkan untuk sekurang-kurangnya 10 tahun bagi mengurangkan tekanan pasaran. Selepas tempoh itu GST boleh dinaikkan kepada 4%
Mereka juga meminta kerajaan mensifarkan GST ke atas semua jenis barang makanan (termasuk makanan dalam tin); sektor kesihatan termasuk semua jenis ubat-ubatan dan rawatan di hospital diminta dikecualikan GST.
Responden mahu subsidi dikembalikan sekiranya harga minyak dunia kembali melambung pada 2017. Harga minyak RON95 menurut mereka tidak patut melebihi RM2 seliter walaupun harga pasaran minyak sedunia meningkat.
Mereka turut menuntut harga rumah mampu-milik tidak melebihi paras RM200,000 sebuah dan akhir sekali gaji minimum hendaklah ditingkatkan kepada RM1,300 mulai 2017.
Menurut Albert Lee, seorang pemandu teksi di Kepong Baru, kos kehidupan yang terlalu membebankan dan tidak lagi mampu ditanggung rakyat. Mereka yang dahulu boleh menyimpan wang pendapatan, hari ini katanya, hanya mencari wang untuk membeli makanan sahaja.
“Rakyat sudah terlalu dihimpit kos sara hidup. Orang yang miskin hanya mampu makan roti dan mi segera setiap hari. Barangan harian kegunaan rumah, harga sayur, ikan, daging di pasar semuanya naik selepas bulan Julai. Macam mana hendak hidup?” keluh beliau.
Seorang suri rumah, Ramlah, berusia 50 tahun, berpendapat kerajaan tidak mampu mengawal harga barangan asas dan semua janji untuk mengawal harga barangan adalah retorik kosong yang menyakitkan hati.
“Sampai bila kami rakyat Malaysia akan dibebankan lagi?” tanya beliau yang mahu GST diturunkan kepada 2% atau lebih baik dimansuhkan terus sehingga negara kita mencapai status negara maju.