Biarpun pemimpin BN terutama Perdana Menteri Najib Razak menganggap perkara yang dicadangkan dalam Buku Jingga 100 hari Pakatan Rakyat memerintah tidak berjejak di bumi nyata, namun tidak tidak sampai 100 hari mereka mempertikaikannya salah satu cadangan buku itu telah pun dilaksanakan.
Hal itu dibuktikan dengan pengumuman Perdana Menteri untuk membekukan kenaikan tol bagi Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur serta kutipan tol di persimpangan Salak dan Taman Connaught dibatalkan bermula Mei 2011.
Menurut Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali langkah membeku kenaikan dan membatalkan kutipan itu jelas merupakan pengakuan dan penerimaan Barisan Nasional terhadap janji-janji di dalam Buku Jingga.
“Hakikatnya, tindakan ini diambil sekarang iaitu selepas janji Buku Jingga untuk menghapuskan tol. Ini adalah bukti Pakatan Rakyat sedang memimpin perubahan dalam negara melalui idea-idea dasarnya yang pro-rakyat dan kini menjadi asas perbincangan utama ke arah perubahan.
“Saya mengalu-alukan keputusan itu. Namun Perdana Menteri juga perlu mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan memberi pampasan kepada syarikat konsesi tersebut, sama ada pampasan tunai secara langsung mahupun pampasan tidak langsung dalam bentuk anugerah aset atau kontrak secara terus,”kata Azmin.
Tindakan menghapuskan kutipan tol ini bukanlah kali pertama kerajaan persekutuan meniru tawaran pihak pembangkang. Sebelum pilihanraya umum 1999 lalu, beberapa hari setelah Barisan Alternatif mengumumkan manifesto pilihanraya mereka untuk memansuhkan lesen televisyen, kerajaan BN mempraktikkan cadangan itu dan memansuhkan serta-merta lesen televisyen. Begitu juga penghapusan cukai jalan bagi motorsikal ditiru dari manifesto pilihan raya Angkatan Perpaduan Ummah pada PRU 1990.
Bagi Azmin, penerimaan BN terhadap idea Buku Jingga menunjukkan kesemua perkara yang dibentangkan oleh PR itu sebenarnya rasional, boleh dilaksanakan dan bukannya umpan pilihan raya semata-mata.
“Penerimaan Perdana Menteri bahawa janji Buku Jingga adalah praktikal dan ada kelebihan ekonomi adalah salah satu sebab kenapa beliau enggan berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Demi rakyat, saya menyeru Kerajaan Persekutuan terus melaksanakan janji Buku Jingga terutamanya menghapuskan ISA, kerana penghapusan akta itu jauh lebih mudah berbanding menghentikan kutupan tol,”sinisnya.