Ahli Parlimen Pokok Sena memohon agar Majlis Raja-Raja yang akan bermesyuarat pada 11 – 13 Oktober ini membincangkan mengenai korupsi pentadbiran PM Najib Razak yang menyebabkan rakyat menanggung keperitan hidup.
Menurut Mahfuz, tidak wajar sekiranya Majlis Raja-Raja membiarkan kerosakan ekonomi akibat salah urus 1MDB yang membawa kesan kepada kehilangan kepercayaan masyarakat antarabangsa ke atas Malaysia sekiranya Najib dibenar terus berkuasa.
“Apa yang paling menyedihkan ialah kuasa Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong dalam urusan keselamatan dan pengistiharan darurat dirampas oleh PM Najib melalui akta Majlis Keselamatan Negara yang diwujudkan dengan menyalah gunakan kuasa majoriti mudah di Parlimen memansuhkan kuasa Yang Di Pertuan Agong (YDPA).
“Oleh itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja pada kali ini sangat penting untuk Raja-Raja menterjemahkan ungkapan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’.
“Walaupun sukar untuk Majlis Raja-Raja khususnya YDPA memecat PM Najib tetapi paling kurang Majlis Raja-Raja boleh memperakui kandungan ‘Deklarasi Rakyat’ yang di tandatangani 1.2 juta rakyat Malaysia dan menyatakan hilang kepercayaan kepada PM Najib tetapi tidak dapat bertindak untuk memecatnya kerana halangan undang undang.
“Walaupun ada pertikaian dalam mentafsirkan kandungan kuasa YDPA dalam Perlembagaan Persekutuan.Tetapi sudah cukup bagi saya untuk mengubat luka hati rakyat Malaysia serta memberi makna ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ (dengan perakuan hilang kepercayaan).” kata Mahfuz dalam dalam satu kenyataan.