Ekonomi negara suku ketiga tahun ini menunjukkan keadaan yang semakin buruk, tidak sebagaimana yang diperkatakan kerajaan BN bahawa pasaran akan pulih akan pertumbuhan tidak akan terjejas pada 2016.
Dua orang pengurus kilang di kawasan perindustrian ringan di Taman Bukit Maluri, Kepong yang ditinjau oleh Suara pakatan daily berkata kerajaan tidak lagi boleh menyembunyikan keadaan sebenar kemerosotan ekonomi agar situasi tidak bertambah buruk.
Salah seorang pengurus, Anson Lee, 48 tahun berkata, Kadar Polisi Semalaman (OPR – Overnight Policy Rate) akan dikurangkan daripada 3% ke 2.75% selepas mesyuarat Bank Negara pada 23 November depan.
“Ini bermakna kadar faedah untuk simpanan tetap akan jatuh ke paras 2.75%. Negara kita perlukan rakyatnya berbelanja dan bukan berjimat untuk mewujudkan ‘spin’ dalam aktiviti ekonomi yang kini sudah lembab,” ujarnya.
Selain itu, Lee menjangkakan kadar faedah untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga akan jatuh ke paras bawah 5.5% serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 7% pada tahun hadapan.
“Ekonomi sudah jatuh ke dalam gaung tetapi sehingga kini kerajaan masih tidak mampu berbuat apa-apa,” keluhnya.
Seorang lagi pengurus kilang, Glenn Tan, 60, berpendapat pilihan raya umum mungkin diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana kerajaan perlu meningkatkan kadar GST.
“Ekonomi sudah begitu teruk. Justeru itu, kadar GST perlu dinaikkan oleh kerajaan dengan secepat mungkin. Ini bererti pilihan raya umum akan diadakan pada suku pertama tahun hadapan.
“Sekarang pun,eksport negara sudah mengalami penurunan dan begitu juga dengan import dan ini bermakna pendapatan negara sudah kurang dan oleh itu macam mana kita mampu mengimport?” tanya Tan.
Beliau berpendapat krisis ekonomi yang dihadapi sekarang akibat kerajaan boros berbelanja. Beliau menegaskan semua negara telah menerima tamparan dari kegawatan ekonomi sedunia tetapi Malaysia mengalami kesan yang lebih berat disebabkan oleh faktor tambahan iaitu skandal 1MDB yang menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap negara.
Kedua-dua pengurus kilang tersebut merasa kerajaan BN sudah kehilangan upaya untuk mengatasi cabaran ekonomi yang sedang dihadapi dan mereka tidak menaruh harapan tinggi kepada Belanjawan 2017 yang akan dibentangkan pada 21 Oktober ini.