Bank pusat Singapura menutup bank Swiss kedua pada Selasa dan mendenda bank DBS dan bank UBS dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang yang didakwa berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan berkata cawangan Falcon Private Bank di Singapura, yang berpangkalan di Zurich, diarah menghentikan operasi kerana “secara konsisten tidak peka” kepada kawalan pengubahan wang di Singapura. Ia turut menuduh pengurusan kanan Falcon di Switzerland dan Singapura “berkelakuan tidak elok”.
Falcon didenda S$4.3 juta (RM13.06 juta) untuk 14 kesalahan memungkiri undang-undang pencegahan pengubahan wang, termasuk tidak memfailkan laporan transaksi mencurigakan dan kegagalan memaklumkan aktiviti luar aturan dalam akaun pelanggan kepada pihak berkuasa.
Falcon adalah bank kedua yang kehilangan lesen akibat siasatan Singapura ke atas 1MDB, yang menyaksikan pihak berkuasa membeku jutaan dolar dalam beberapa akaun bank, mendenda bank dan mendakwa beberapa banker persendirian.
Pada Mei, bank BSI cawangan Singapura, yang berpangkalan di Switzerland) diarah tutup kerana gagal mengawal aktiviti pengubahan wang yang berkait dengan 1MDB. Arahan itu merupakan pertama kali Singapura menutup sebuah bank sejak 32 tahun lalu.
DBS didenda S$1 juta (RM3.04 juta) dan UBS S$1.3 juta (RM3.95 juta) pada Selasa kerana memungkiri undang-undang anti-pengubahan wang Singapura. Kedua bank dalam kenyataan berasingan berkata tindakan akan diambil terhadap kakitangan yang bertanggungjawab ke atas kesilapan itu.
Sementara itu di Zurich, Penguasa Penyeliaan Pasaran Kewangan (Finma) mengarahkan Falcon supaya menyerahkan lebih 2.5 juta Swiss francs (RM10.61 juta), yang menurut pemantau itu keuntungan tidak sah.
Jurucakap Finma berkata siasatan terhadap bank terbesar Switzerland, UBS, berkaitan dengan 1MDB masih berjalan.
Finma menambah prosiding penguatkuasaan undang-undang sudah dibuka terhadap dua bekas eksekutif Falcon, tanpa menamakan mereka.
Pihak berkuasa Singapura menahan pengurus Falcon Private Bank cawangan Singapura, Jens Sturzenegger, pada 6 Oktober lalu, kata MAS.
MAS juga sedang memuktamadkan penilaian ke atas Standard Chartered Bank cawangan Singapura dan akan mengumumkan hasil penilaian itu dalam masa terdekat.
Standard Chartered berkata pihaknya tidak boleh mengulas sementara penilaian sedang berjalan.
Falcon menggambarkan keputusan MAS sebagai “disesali dan mengecewakan”, tetapi menambah ia kini akan tumpu kepada mengembangkan “lokasi teras” di Switzerland, Timur Tengah dan London.
Bank itu dijangka akan menutup cawangannya, yang mempunyai sekitar 35 kakitangan, dalam beberapa bulan ini, kata jurucakap Falcon.
Finma dalam penilaiannya ke atas Falcon mengenalpasti sejumlah AS$3.8 bilion (RM15.92 bilion) yang berkait dengan Kumpulan 1MDB dipindahkan ke akaun di Falcon antara tahun 2012 dan pertengahan 2015.
“Hubungan perniagaan dan transkasi yang dibuat di Switzerland dan di cawangan Falcon di Singapura dan Hong Kong adalah luar biasa dan membabitkan risiko yang tinggi untuk bank dari segi sifatnya dan jumlahnya,” katanya.
Ia berkata Falcon mempunyai beberapa hubungan perniagaan dengan syarikat kumpulan 1MDB dan melaksanakan transaksi berjumlah sekitar AS$2.5 bilion (RM10.47 bilion) melalui akaun dua syarikat luar pesisir pantai.
Falcon juga mempunyai hubungan klien dengan seorang peniaga muda warga Malaysia yang mempunyai kaitan dengan beberapa individu dalam lingkungan kerajaan Malaysia, tanpa menamakan beliau.
“Bank tidak mengesahkan bagaimana individu terbabit boleh peroleh aset $135 juta dalam jangka masa yang sangat pendek atau mengapa sejumlah AS$1.2 bilion (RM5.03 bilion) dipindahkan ke akaunnya pada suatu tarikh kemudian – transaksi yang jelas bercanggah dengan maklumat yang beliau berikan semasa membuka akaun,” katanya.
Amaran dalaman daripada kakitangan bank tidak diendahkan, menurut Finma.
Finma melarang Falcon daripada menyertai hubungan perniagaan baharu dengan individu-individu luar negara yang berkaitan politik selama 3 tahun dan Falcon akan kehilangan lesen sekiranya ia mengulangi kesalahan itu.
Falcon mempunyai $900 juta (RM3.77 bilion) aset di Singapura, kata ketua pegawai eksekutifnya Walter Berchtold dalam sesi taklimat media. Kes 1MDB tidak menghalang bank daripada menarik aset baharu, tambahnya.
Pemilik Falcon, anak syarikat kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company menyifatkan Falcon sebagai pelaburan strategik dan “sekarang ini tidak berhasrat” untuk menjualnya.