Skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pergaduhan puak Baju Merah menghalang konvoi Bersih 5 dalam dua minggu kebelakangan ini mula menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelabur asing yang menilai masa hadapan ekonomi Malaysia.
Ketakutan itu tidak pernah berlaku dalam pemerintahan lain-lain perdana Menteri selain Najib Razak, biar pun Malaysia lebih tiga kali dilanda kemelesetan ekonomi pada 1975, 1985 dan 1998. Kebimbangan kali ini, menurut seorang pelabur asing yang mahu dikenali sebagai Jameson Tan, adalah berkaitan huru-hara sosial yang sukar dipulihkan.
“Walaupun puak baju merah dan pemimpin mereka telah membuat ugutan serta mengungkit peristiwa hitam 13 Mei, tiada tindakan serius (oleh polis) diambil ke atas mereka. Situasi ini menakutkan pelabur. Ia jangan dibiarkan berterusan.
“Selain daripada itu, satu soalan yang perlu ditanya ialah adakah parti politik tertentu merestui dan menyokong tindakan puak baju merah ini?” katanya yang memiliki kilang di kawasan industri Sungai Buloh, Selangor.
Beliau berpendapat, situasi politik negara pada masa ini amat menakutkan pelabur. Jameson tidak berselindung bahawa beliau sedang memikirkan sama ada mahu menarik keluar pelaburannya atau pun tidak.
Katanya, kerajaan Malaysia seolah-olah belum mahu membuat sesuatu untuk menghentikan tindakan ganas dan ugutan dari puak baju merah.
“Polis lambat bertindak ke atas mereka. Apakah makna ini semua? Saya juga ingin tahu siapakah dalang utama di belakang puak itu?” tanyanya lagi.
Beliau memberi amaran bahawa ekonomi Malaysia akan runtuh sekiranya berlaku tindakan ganas pada perhimpunan Bersih 5, 19 November depan.
Menurutnya, kerajaan Malaysia harus tahu selepas kelembapan ekonomi dunia pulih maka Malaysia akan ketinggalan jauh di belakang negara-negara Asia lain sekiranya puak baju merah bertindak ganas, kerana keganasan akan mengakibatkan pelabur asing menarik keluar modal dan membawanya ke negara jiran yang lebih terjamin keselamatan.
Satu lagi situasi yang mengganggu, kata Jameson, ialah kurangnya tindakan tegas daripada polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara serta Bank Negara menangkap dan mendakwa pihak-pihak yang terlibat dalam skandal1MDB.
“Disebabkan isu 1MDB, saya dan rakan pelabur asing yang lain sudah berasa was-was apabila hendak melabur dalam projek kerajaan kerana terdapat krisis keyakinan terhadap Kementerian Kewangan berkenaan pengendalian mereka dalam hal penyelewengan entiti itu.
“Tengoklah, kerajaan Singapura melalui Monetary Authority of Singapore (MAS) telah menutup Falcon Bank dan mendenda bank-bank DBS dan UBS. Tindakan mereka yang memberi kesan di Singapura dan Switzerland telah membuka mata pelabur asing bahawa hanya di Malaysia tiada tindakan diambil terhadap sesiapa pun yang terlibat dalam isu 1MDB.
“Di peringkat antarabangsa nama 1MDB amat terkenal dan Amerika Syarikat pun sedang menyiasatnya. Tetapi di sini, ‘No Further Action’.
Kita tengok semua ini dan kita berasa amat takut,” kata Jameson yang berharap pihak-pihak yang terlibat dalam isu 1MDB segera didakwa bagi memulihkan keyakinan para pelabur asing terhadap institusi undang-undang Malaysia.