Pemuda AMANAH Negeri Perak meminta pimpinan utama AMANAH negeri itu untuk menimbangkan beberapa orang bekas Pegawai Kerajaan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) kelak.
Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak Safarizal Saleh berkata, meletakkan bekas pegawai kanan kerajaan akan meningkatkan imej Amanah sebagai parti yang berpotensi untuk mentadbir negeri.
“Antara yang dilihat berpotensi adalah bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) iaitu Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafiz yang boleh dicadangkan kerana kelayakan beliau yang juga pernah menjadi calon pilihan raya dahulu.
“Diakui tahap kesihatan beliau, tetapi semangat dan iltizam beliau untuk bersama berjuang bersama AMANAH cukup menunjukkan kemampuan beliau dan masih menjalankan tugasan yang ada walaupun menggunakan kerusi roda.
“Pemuda AMANAH Perak memohon dipertimbangkan cadangan ini dan berharap tindakan susulan dapat diambil serta mengadakan perbincangan dengan beliau dan Ahli Keluarga beliau atas maksud tersebut nanti,” katanya dalam satu kenyataan.