Ulasan Pembaca
Usaha kerajaan BN melalui polis menggambarkan tunjuk perasaan Bersih akan merosakkan perniagaan dan menggalakkan para peniaga menutup perniagaan pada hari tersebut telah mensabotaj ekonomi golongan peniaga di Kuala Lumpur. Bayangkan kawasan Chow Kit yang biasanya sesak lalu lintasnya tiba-tiba lengang tanpa sebaran kereta, bas atau teksi yang bergerak di jalan Tunku Abdul Rahman. KL lebih lengang daripada hari Raya Puasa
Kawasan ini tempat rakyat berpendapatan rendah berbelanja. Penutupan jalan dan perniagaan menyebabkan mereka tidak berbelanja untuk sehari. Untuk apa kerajaan BN berbuat demikian? Semua ini menyusahkan rakyat.
Kemudian para pekedai dihasut agar meburuk-burukkan tunjuk perasaan. Pekedai runcit di Chow Kit pada jam 10 pagi berteriak ‘Reformasi, Reformasi, perniagaan kami rugi’. Siapa yang menghasut peniaga itu berkata demikian. Betapa bodohnya rakyat bawahan dilayan seperti lembu. Kerajaan BN yang menutup jalan raya kemudian gambarkan kepada rakyat semua itu angkara Reformasi.
Bagi sesiapa yang duduk di Kuala Lumpur demo Reformasi telah berlangsung sejak 1998. Tidak ada satu pun kedai dibakar atau peniaga dirompak sepanjang demo itu. Kerajaan yang menutup jalanlah sepatutnya dipersalahkan.

Kerugian berjuta ringgit, perniagaan ditutup
Begitu juga di sebuah gerai berhampiran balai polis Cambell. Makcik peniaga warung di situ bersemangat melaungkan ’orang Melayu Pakatan Rakyat tidak sedarkan diri’. ‘Generasi muda tidak merasa peritnya 13 Mei 1969’. ‘Seminggu kedai ditutup dan rakyat tidak makan’. ‘Dulu 2007 dah buat, sekarang buat lagi’
Soalnya 13 Mei dan sekarang sesuatu yang berbeza. 13 Mei rusuhan kaum. Mengapa kerajaan mengulang 13 Mei sehingga makcik yang tidak faham itu menyifatkan semua tunjuk perasaan sama seperti 13 Mei. 13 Mei pun sehingga hari ini kerajaan takut untuk mengeluarkan kertas putih kejadian tersebut kerana yang mencetuskanya bukan sepenuhnya kaum Cina dan DAP sebagaimana yang digambarkan.
Semua ini mainan jahat pemimpin BN untuk mengekalkan kuasa. Mereka sanggup mencabul perlembagaan dan demokrasi. Memburuk-burukkan sesuatu yang boleh dilakukan.

Berapa juta peniaga untung jika mereka ke kedai?
Rasanya, hanya Malaysia yang masih melakukan perkara sedemikian di kalangan negara Asean yang diperintah secara demokrasi. Negara lain hanyalah Vietnam yang berideologi komunis dan Myanmar yang diperintah oleh rejim tentera.
Bila lagi ahli politik BN mahu menjadi waras. Janganlah kerana ingin berkuasa sanggup menyekat rezeki rakyat. Akibat ingin mengotakan janji mereka tunjuk perasaan akan merosakkan perniagaan mereka melarang peniaga berniaga. Kerana hujah mereka tunjuk perasaan mengacau lalu lintas mereka menutup laluan masuk.
Akhirnya, tunjuk perasaan terjadi juga dan tidak ada apa yang luar biasa berlaku kecuali perkara lazim sejak puluhan tahun lalu. 3 – 4 jam berkejar-kejaran dengan polis. Gas pemedih mata. Tangkapan dan teriakan demi teriakan.
Malah di hadapan Pudu Raya kedai-kedai di sepanjang Jalan Pudu dibuka seperti biasa. Orang ramai menjamu selera, sedangkan di depan mereka FRU bertempur dengan penunjuk perasaan. Selepas tunjuk perasaan selesai kedai dilimpahi demonstran yang kelaparan dan kehausan.
Para ahli politik BN, sedarlah kamu, waraskanlah fikiran kamu sebelum kamu betul-betuk menjadi tidak waras!