Keterbatasan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah faktor utama mengapa bekas ketua pembangkang itu tidak boleh menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, kata Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Menurut Dr Shahruddin yang juga ADUN Jorak berkata keterbatasan itu dilihat ekoran kekangan undang-undang untuk Anwar bertanding.
Sehubungan itu, katanya, calon berpotensi pakatan pembangkang untuk jawatan perdana menteri adalah presiden penaja BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Keterbatasan. Dia (Anwar) mempunyai beberapa keterbatasan yang mana banyak benda beliau lalui. (Anwar) kena tunggu lima tahun.
“Keadaan tidak bersama beliau setakat ini dan itu realistiknya.
“Kalau PRU akan diadakan tahun depan, yang layak bertanding dengan hukum undang-undang yang ada adalah Tan Sri Muhyiddin, walaupun Anwar layak dan saya tak nafikanya, tetapi ada kekangan undang-undang untuk Anwar bertanding,” kata Shahruddin dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini.
Pengerusi parti serpihan Umno itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata Muhyiddin ialah pilihan utama sebagai perdana menteri jika pembangkang menang pilihan raya akan datang.
Bercakap di London beberapa minggu lalu, Mahathir bagaimanapun berkata ia bergantung sama ada ia dipersetujui barisan pembangkang.
Namun, Ketua Publisiti DAP Tony Pua menegaskan calon berpotensi Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri kekal Anwar.
Mengulas lanjut, Shahruddin berkata dalam BN Muhyiddin pernah menjawat jawatan kedua tertinggi dalam negara sebagai timbalan perdana menteri.
Oleh itu, adalah tidak menjadi masalah kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai perdana menteri, kata Shahruddin.
“Dia (Muhyiddin) telah lama mentadbir negara dan mempunyai pengalaman yang luas dalam parti, kementerian bahkan dia dikenali di dalam dan luar negara.
“Jadi, saya kira beliau mempunyai kebolehan dan ketokohan untuk menjadi PM. Saya juga rasa tidak ada orang dalam parti lain yang mempunyai ketokohan begitu,” tegas Shahruddin.
Bahkan, beliau yakin 100 peratus dengan kemampuan dan kebolehan Muhyiddin untuk menyelesaikan segala krisis yang membelit negara hari ini.
“Sudah pasti boleh dan saya yakin 100 peratus,” kata Shahruddin ketika diminta mengulas sejauhmana Muhyiddin mampu membawa Malaysia keluar dari krisis sedia ada.
Tambah Shahruddin, berdasarkan pemerhatian beliau, Muhyiddin adalah seorang pemimpin yang berjiwa kental dan tidak mudah mengalah meskipun seringkali dilihat bersikap tenang dan tidak melawan setiap kali berdepan kritikan.
“Saya sendiri tak terfikir Muhyiddin boleh menubuhkan parti dengan cara dia sebegitu, tapi dia mempunyai karekter yang tak pernah mengalah dan beliau juga seorang menteri yang paling menonjol,” kata Shahruddin.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara selepas disabit atas tuduhan liwat. Beliau secara konsisten menafikan pertuduhan itu, dan mendakwa ia adalah konspirasi politik.