Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah parti yang dinamakan semula oleh Datuk Seri Shafie Apdal yang telah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.
Sebelum pengambilalihan itu, parti berkenaan dikenali sebagai Parti Pembangunan Warisan Sabah yang ditubuhkan pada tahun 2013, namun beliau dalam sidang medianya enggan mengulas lebih lanjut latar belakang parti diambil alih itu dan sebab beliau memilih parti itu.
RoS juga meluluskan logo dan perlembagaan seperti dalam permohonan Shafie. Simbol “kapal layar” ini ujarnya akan bergerak di Sabah sebagai parti pelbagai kaum.
“Rakyat tidak lihat nama semata-mata, rakyat akan lihat pimpinan parti. Kapal layar ini membawa maksud “harapan’ untuk adakan perubahan bagi kebaikan rakyat negeri Sabah. Kita akan bagi perubahan pada landskap di peringkat negeri dan nasional.
“Apa kehendak rakyat Sabah dari segi autonomi, kekayaan negara, dari segi kuasa tertentu yang menjadi harapan dan kita masukkan dalam kapal layar itu dan didukung oleh ‘tangan-tangan’ yang akan mengerakkan parti itu,” ujarnya menerangkan maksud logo parti Warisan.
Shafie selaku Presiden baru Warisan manakala Ahli Parlimen Penampang Darrel Leiking pula dilantik sebagai Timbalan Presiden.
Manakala bekas Adun Likas, Junz Wong,bekas Adun Sulabayan, Jaujan Sambakong dan Datuk Peter Anthony (Presiden KDM) menjadi Naib Presiden baru Warisan manakala Setiausaha Agung Loretto S Padua Jr seorang peguam.
Shafie pada 4 Julai lalu mengumumkan keluar parti selepas keahliannya digantung Jawatankuasa Disiplin sejak 24 Jun lalu.
Pengumuman dibuat beberapa hari selepas Majlis Tertinggi memecat timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Turut mengumumkan langkah sama Naib Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong serta tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan pada 27 Jun lalu, susulan tindakan Majlis Tertinggi Umno menggantung keahlian Shafie.
Sebelum ini laporan menyebut permohonan Shafie untuk menukar nama, logo dan pindaan perlembagaan sebuah parti di Sabah dengan nama baharu dikatakan telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Bekas Naib Presiden Umno itu dimaklumkan akan ke RoS jam 8.30 pagi ini.
Perkara ini diberitahu oleh pegawai medianya petang semalam menerusi whatapps: “Esok pagi @8.30, ROS Putrajaya. Kelulusan pindaan parti yang diterajui YB DS Shafie Apdal.”
Pada 22 September lalu, Ahli Parlimen Semporna ini telah ke pejabat RoS bagi tujuan penukaran nama dan logo parti yang dikatakan telah ditubuhkan sejak 2013 itu.
Dakwaan sebelum ini, Shafie dikatakan membeli Parti Kebangsaan Sabah (PKS) yang ditukar nama kepada Parti Kebangsaan Rakyat Sabah (PKRS).
Namun Shafie dalam sidang media diadakan selepas ke pejabat RoS masih terus berahsia nama parti yang diambil alih itu dan enggan memberitahu nama baharu partinya.
Sebaliknya Shafie yakin usahanya memperbaharui sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah untuk didaftarkan menjadi parti politik baharunya akan diluluskan RoS. Malaysia dateline