Kumpulan pejuang hak asasi manusia menolak ikrar terbaharu perdana menteri untuk mengumumkan pelan tindakan bagi menangani masalah sosio-ekonomi masyarakat India sebagai satu lagi “wayang kulit”.
Pengerusi Hindraf Makkal Sakthi, P Waythamoorthy berkata ia bukan kali pertama Najib membuat janji yang akhirnya tidak ditunaikan.
“Najib mengkhianati ikrar ‘nambikei’ (amanah) sendiri kepada rakyat Malaysia yang berasal dari India, yang dibuat menjelang pilihan raya umum lepas pada Mei 2013, pada malam Memorandum Persefahaman (MoU) RM4.5 bilion antara Hindraf Makkal Sakthi dan Barisan Nasional (BN).
“Selama ini memungkiri janjinya di bawah MoU dan Rangka Tindakan Hindraf itu, perdana menteri mempunyai keberanian membuat satu lagi janji kepada masyarakat India,” kata Waytha.
Waytha mengakui Najib memberitahunya yang beliau berusaha terhadap program itu tetapi selalu sahaja ada gangguan.
“Sebelum ini, beliau mengadu terdapat gangguan dalam pelaksanaan. Beliau berkata keputusan itu tidak mengikut perancangan, terdapat masalah.”
“Tetapi sekarang, beliau berjanji melaksanakan pelan tindakan itu. Beliau tidak bercakap benar, kerana terdapat masalah di peringkat pelaksanaan,” kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Perdana menteri tidak berhasrat menunaikan janjinya kepada masyarakat India, keluh Waytha dan “itulah yang kebenarannya”.
Respons terhadap janji baharu Najib, Waytha berkata beliau mencuba sebaik mungkin ketika berada bersama kerajaan.
“Saya membangkitkan perkara MoU dengan Najib tetapi beliau memberitahu saya agar bertahan,” katanya, sambil menambah: “Malah, Najib memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat India terhadap pengabaian Umno dan BN selama 40 tahun.”
Waytha juga melahirkan kekecewaan akan kegagalan Najib gagal menangani beberapa isu penting, termasuk nasib 300,000 kaum India tanpa kerakyatan di Malaysia, rancangan sosio-ekonomi bagi 800,000 pekerja estet, pengambilan lebih ramai pelajar India di universiti awam, peningkatan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam, dan kursus latihan kemahiran.
Najib juga berjanji mewujudkan program bagi menangani penglibatan belia India yang semakin meningkat dalam aktiviti dan jenayah terancang, kata Waytha.