Kenyataan pahit yang diumumkan Menteri Kewangan PM Najib Razak baru-baru ini bahawa tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) negara akan lumpuh, menunjukkan kelemahan polisi kewangan kerajaan BN.
Komuniti perniagaan berkata demikian kerana sebagai Menteri Kewangan sewajarnya Najib mempunyai pelan pengembangan pendapatan negara dan tidak terlalu bergantung kepada satu jenis cukai sahaja. Menurut mereka, Menteri Kewangan sebelum ini seperti Daim Zainudin, Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir tidak pernah bergantung kepada GST untuk memajukan negara.
Eric Teh, 40 tahun, seorang peniaga yang bergiat dalam bidang sewaan ruang pejabat menganggap kenyataan terbaharu Najib itu sebagai ‘merosakkan’ ketika ekonomi menunjukkan tanda-tanda menghampiri kemelesetan.
“Kenyataan itu jelas menunjukkan pengurusan ekonomi negara oleh Menteri Kewangan sangat lemah dan tanpa hala tuju kerana kerajaan perlu bergantung 100% kepada GST.
“Sepatutnya Malaysia tidak perlu laksanakan GST pun kerana negara ini kaya dengan berbagai hasil sumber asli. Tetapi GST tetap juga dilaksanakan disebabkan oleh pengurusan ekonomi dan kewangan yang tidak bijak.
“Sekarang permintaan tempatan dan kuasa beli pengguna turun mendadak. Kos sara hidup meningkat manakala rakyat miskin dan sederhana semakin tiada wang untuk dibelanjakan
“Yang lebih membimbangkan, saya dapat tahu banyak kilang-kilang kecil di kawasan Kepong (pinggiran Kuala Lumpur) yang akan menutup operasinya sebelum Disember ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Eric juga sinis terhadap keputusan kilang-kilang besar seperti Seagate, Intel, Western Digital dan Panasonic yang keluar dari Malaysia. Katanya, tindakan itu menjejaskan imej negara.
Tambah Eric, faktor terbaharu memburukan keadaan ekonomi adalah kelemahan kerajaan mengawal kesamsengan puak baju merah yang bertindak ganas ke atas konvoi Bersih 5 yang dianggap pelabur asing boleh mencetuskan huru hara dan kelumpuhan ekonomi jika tidak dikawal.
“Selain dari itu, terdapat juga orang yang terlibat dalam aktiviti rasuah yang dibiarkan bebas. Apakah makna semua ini? Kini ‘political and economic uncertainty’ (situasi politik dan ekonomi yang tidak menentu) semakin menakutkan rakan pelabur asing saya,” kata Eric.
Beliau berkata pelabur asing berasa tidak yakin terhadap Belanjawan 2017 yang akan dibentangkan pada Jumaat, 21 Oktober ini kerana faktor imej yang diakibatkan oleh isu 1MDB dan tindakan siasatan dari pihak berkuasa Amerika Syarikat.