Menteri besar Perak Zambery Abdul Kadir dipetik oleh beberapa stesen televisyen menyelar serangan peribadi yang kononnya ditimbulkan oleh pembangkang sepanjang kempen pilihanraya kecil DUN Tenang. Dari satu segi teguran beliau adalah baik namun serangan peribadi dimulakan oleh MCA mepersoalkan calon muslimah PAS yang enggan bersalam dengan lelaki bukan muhram. Selepas itu pihak PAS membalas dengan pembongkaran kelalaian calon BN di Tenang mengendalikan kes pemilikan tanah ketika menjadi Pembantu Pegawai Daerah.
Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Zawawi Hassan bersetuju pandangan Zambry agar tidak menggunakan kaedah serangan peribadi untuk mendapatkan sokongan. Namun persoalannya bagaimana pula dengan serangan peribadi yang telah dilakukan kepada bekas menteri besar Perak Ir Nizar Jamaluddin oleh para pemimpin Umno yang dinaungi Zambry?
“DPPN Perak melihat serangan peribadi adalah senjata yang akan membunuh demokrasi tulen. Dalam keadaan ini sebagai contoh ialah serangan terhadap Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang diserang dengan pelbagai perkataan dan tohmahan seperti Boneka cina’ derhaka Raja, Jual tanah kepada cina dan banyak perkara lagi yang benar-benar menyentuh peribadi dan maruah seseorang
“Kami berharap Datuk Seri Zambry juga dapat menasihatkan blogger-blogger Umno yang terlalu jahat menyerang peribadi pimpinan Pakatan Rakyat (PR). Kami berharap kenyataan ikhlas tersebut dapat menutup ruang serangan peribadi yang mana turut disentuh oleh Datuk Seri Zambry. Tetapi jika pihak-pihak tertentu masih menggunakan kaedah serangan peribadi ini, jelaslah kenyataan-kenyataan selama ini hanya penyedap halwa telinga sahaja. Kami juga berharap Umno-Barisan Nasional dapat membuktikan bahawa mereka tidak pernah menggunakan serangan peribadi sebagai senjata mereka selama ini,”katanya.