ULASAN: Perdana Menteri dan rakan-rakan barunya sekarang mahu melaksanakan undang-undang syariah. Mereka mahu setiap aktiviti dilaksanakan mengikuti kehendak syariah.
Dan mereka bekerja bersama untuk memperkenalkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memberi lebih banyak kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan semua jenis hukuman, kecuali mati.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menganjurkan “munajat” dan “solat hajat” di Kota Bharu untuk mendapatkan pertolongan Tuhan agar rang undang-undang itu diluluskan apabila dibentangkan nanti.
Saya tidak mempunyai masalah dengan undang-undang Allah. Semuanya sudah dinyatakan di dalam al-Quran. Masalah saya, dan mungkin masalah kepada orang lain juga, bagaimana hukum Allah mesti dilaksanakan manusia; serta apakah jenis manusia yang menjadi pemimpin Islam yang sesuai melaksanakan hukum tersebut?
Adakah mereka yang mahu melaksanakan hukum itu benar-benar dikenali sebagai pemimpin sepertimana yang ditetapkan Islam? Jawabnya, sama sekali tidak.
Pertama, kerana mereka sombong. Apa-apa sahaja mengenai Islam seolah-olah hanya mereka yang tahu dan orang lain tidak berhak mempersoalkan mereka. Satu hari mereka berkata Umno kafir, maka kafirlah Umno. Hari ini mereka kata Umno pejuang Islam, maka pejuang Islamlah Umno.
Orang lain hanya perlu menerima dan akur dengan segala kata-kata dan tingkah laku mereka. Mereka ini, sama ada pemimpin politik atau agama, sama dengan Taliban. Mereka mahu kita semua mengikut mereka tanpa soalan dan jika kita tidak bersikap demikian, maka kita dianggap umat Islam tidak baik.
Kemudian mereka juga menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi diri daripada tuduhan jenayah. Mereka menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri, sama ada dengan mencuri wang, balak atau hutan simpan.
Mereka juga akan menangkap dan menghukum orang lain seperti saya yang kerap mempersoalkan kelakuan mereka. Mereka akan menggunakan samseng untuk menghalang perhimpunan aman. Adakah ciri-ciri sedemikian yang ditetapkan al-Quran bagi mereka yang menggelarkan dirinya pemimpin rakyat?
Sudah tentu tidak, kerana al-Quran dan Nabi Muhammad menyatakan dengan jelas pemimpin Islam mesti adil dan penyayang. Mereka mesti hidup secara sederhana dan tidak mengenakan bayaran mahupun upah untuk menyebarkan agama. Islam benci kepada pemimpin yang munafik.
Islam benci kepada pemimpin yang berpura-pura dan berdusta. Islam menuntut kejujuran dan integriti dari para pemimpinnya.
Hari ini, kita mempunyai pemimpin korup dan tidak jujur dan mereka adalah orang-orang yang mahu memperkenalkan undang-undang hudud. Mereka tidak layak digelar pemimpin Islam dan sama sekali tidak sesuai melaksanakan hudud.
Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di lapangan terbang, saya berharap polis pengiring hadir supaya beliau tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, tetapi pihak atasan di Kuala Lumpur tidak membenarkan mana-mana polis mengiringi beliau. Beginikah cara kita menghargai bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara?
Bagaikan langsung tiada penghargaan atau untuk memastikan keselamatan bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun kepada kita. Hanya kebencian yang ditunjukkan semata-mata beliau mengkritik perdana menteri. Inilah jenis pemimpin Islam yang kita ada.
Kemudian di Kota Bharu, saya sendiri berusaha mencari tempat di mana saya boleh mengadakan ceramah pada malam 14 Oktober lalu. Saya diberitahu jika Datuk Husam Musa merupakan salah seorang penceramah jemputan, maka saya tidak dibenar menggunakan mana-mana premis di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Kini, terdapat satu pekeliling kerajaan negeri yang melarang mana-mana pihak bekerja dengan kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri membantu sesiapa yang ada kaitan dengan Amanah.
Tetapi, pekeliling tersebut tidak melarang orang sama daripada membantu PAS. Inilah jenis “double standard” yang diterima pakai dan mereka belajar teknik ini daripada Umno. Kedua-dua pihak ini adalah orang munafik.
Oleh itu, Umno dan pemimpin PAS tidak layak melaksanakan hudud atau meluluskan Rang Undang-undang 355 yang dibentangkan Hadi di Parlimen. Mereka tidak mengerti untuk bersikap adil dan saksama. Mereka adalah pemimpin sombong yang tidak boleh diharap oleh rakyat.
Jika kita membenarkan mereka memotong tangan bagi kesalahan mencuri, hanya tangan orang-orang kita yang akan dipotong, tetapi semua orang mereka akan terlepas. Kesalahan mencuri mereka akan dilindungi Akta Rahsia Rasmi.
Itulah sebabnya kita perlu menolak sebarang undang-undang yang mereka mahu luluskan kerana mereka tidak mungkin berlaku adil serta bukan pemimpin yang adil
Penulis ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.