Bersih 2.0 akan meneruskan himpunan aman yang dijadualkan 19 November depan, meskipun menerima ugutan bunuh daripada pihak yang mendakwa IS.
Jawatankuasa pemandunya mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan petang tadi.
“Sejak konvoi Bersih dan perhimpunan Bersih 5 diumumkan, pelbagai kenyataan berbaur perkauman, ugutan, pembohongan berunsurkan keagamaan, dan keganasan diajukan terhadap Bersih.
“Tuntutan-tuntutan Bersih masih kukuh, iaitu untuk pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, hak membantah, memperkukuh demokrasi berparlimen, dan memperkasa Sabah dan Sarawak,” kata Bersih 2.0.
Menurut kenyataan itu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menerima ugutan bunuh yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp.
Pengirim mengugut untuk “sembelih” Maria dan “konco-konco ‘anjing’” beliau, serta melampirkan gambar tiga orang anaknya.
Ini kali kedua keselamatan Maria diancam. Sebelum ini, pemimpin Gerakan Merah Mohd Ali Baharom (Ali Tinju) mengugut Maria tidak akan berjalan di atas bumi.
Dalam kenyataan Bersih 2.0 petang tadi, pengirim membantah himpunan Bersih, yang diadakan bagi mendesak reformasi institusi dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Aku tak mau cakap banyak kali,” kata pengirim dalam pesanannya kepada Maria. “Aku nak bagi last warning pada kamu, jangan teruskan niat bodoh kau untuk anjur himpunan Bersih.
“Kau jangan cuba nak bangkitkan kemarahan orang-orang Melayu,” tambah pengirim, yang kemudian mendakwa dirinya IS.
Sebelum ini, Gerakan Baju Merah juga membantah penganjuran himpunan Bersih. Pemimpinnya, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos mendakwa Bersih diresapi IS, dan dilaporkan memberi amaran pengikutnya sedia bertembung dengan peserta Bersih.
Bersih 2.0 menggesa pihak berkuasa supaya memburu pengirim itu, dan memohon kerjasama Barisan Nasional supaya menghentikan ugutan dan keganasan.