Pakatan Harapan melancarkan Belanjawan Alternatif 2017 bertema ‘Pakatan Harapan Menentukan Masa Hadapan’ hari ini, di pejabat Ketua Pembangkang, bangunan Parlimen.
Belanjawan itu dilancarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah, Presiden Amanah Mohamad Sabu, pemimpin kanan DAP Tony Pua dam Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah.
Dr Wan Azizah berkata, tema menentukan masa hadapan dipilih berikutan keadaan ekonomi negara yang semakin merosot.
“Tema ini dipilih kerana negara hadapi kelembapan ekonomi dan berkemungkinan akan hadapi krisis ekonomi tahun depan.
“(Sebelum ini) kita beri cadangan bernas tetapi kerajaan tidak mengendahkannya dan antaranya ialah perangi rasuah, menghentikan penyelewengan dan ketirisan setiap tahun, amalkan kerajaan telus dan adil. Malangnya kerajaan tak peduli,” katanya.
Dr Wan Azizah tegas menyeru agar Menteri Kewangan, Najib Razak meletakkan jawatan kerana kecuaian beliau dalam urus tadbir negara, terutama melibatkan skandal 1MDB dan dakwaan beliau adalah Malaysian Official 1 (MO1) di dalam kes saman sita Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
“Memang jarang negara di dunia, PM memegang portfolio kewangan. Itu jarang berlaku. Tun (Mahathir) pun hanya pegang jawatan Menteri Kewangan selama 4 bulan sahaja.
“Kita harap ini belanjawan terakhir Najib sebagai Menteri Kewangan . Berilah kepada yang lebih arif dan cerdik,” katanya
PH juga telah mencadangkan 11 dasar baharu bagi membantu untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat dan negara.
Antara dasar tersebut ialah kesaksamaan peluang pekerjaan, meningkatkan upah, kurangkan pekerja asing, tambah pendapatan rakyat dan lain-lain.
Ketua Pembangkang itu juga berkata, PH mengalu-alukan kerajaan BN mengguna pakai belanjawan alternatif itu demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Turut hadir sama pelancaran belanjawan alternatif ini ialah beberapa ahli parlimen PH Wong Chen, Johari Abdul, Tony Pua, Dr Hatta Ramli dan lain-lain lagi.