Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) menunggu kenyataan Jabatan Peguam Negara (JPN) sepertimana kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan Bersih pada 9 Julai lalu akan diambil tindakan melalui proses Undang-Undang Negara. Jika berpandukan kenyataan Datuk Seri Hishammuddin, Umno juga boleh dianggap terlibat di dalam perhimpunan itu melalui pertubuhan haram Patriot.
Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr Raja Ahmad Al Hiss, sekiranya peserta demostrasi Bersih didakwa di mahkamah, kerajaan BN sama sekali tidak boleh melepaskan penunjuk perasaan Patriot dipimpin oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga berdemo pada hari yang sama .
“Pemuda PAS yakin kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Majlis Penerangan Isu Semasa baru-baru ini mengiktiraf penubuhan Himpunan Patriot (Patriot) oleh Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Pengakuan Najib tersebut memang mengesahkan bahawa Umno telah mengarah Patriot untuk berhimpun pada 9 Julai lalu. Ini bermakna sesiapa yang terlibat dengan Patriot perlu didakwa termasuklah Najib serta Khairy.
“Jika diambil kira pertemuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dengan beberapa kumpulan yang merancang untuk mengadakan perhimpunan 9 Julai lalu, Patriot yang diwakili Khairy adalah sebuah pertubuhan yang telah bertemu dengan pihak Polis selain Dato’ S. Ambiga (BERSIH) dan Datuk Ibrahim Ali (Perkasa). Ini bermakna Patriot yang diwujudkan oleh Umno juga akan berdepan dengan tindakan sepertimana tindakan terhadap BERSIH 2.0 seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Hishammuddin.
“Jika Umno tidak mengambil tindakan, kami merafak sembah Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Seri Paduka Yang DiPertuan Agong agar campur tangan berikutan kegagalan pihak yang berwajib bertindak mengikut profesional mereka kerana tunduk atas desakan Umno bagi menyelamatkan diri dan menolak amalan sistem demokrasi yang berpandukan Undang-Undang Negara. Kami yakin Yang DiPertuan Agong mampu menyelamatkan keadaan sepertimana keperihatinan Tuanku yang mengadakan pertemuan dengan BERSIH 2.0 dahulu sebagai satu tindakan yang berlandaskan prinsip demokrasi Raja Berperlembagaan,” kata Raja Ahmad.
Dua hari lalu beliau melahirkan rasa terkejutnya dengan pengakuan Najib Razak yang berucap di Majlis Penerangan Isu Semasa mengiktiraf penubuhan Himpunan Patriot (Patriot) oleh Pergerakan Pemuda Umno Malaysia walaupun sebelum itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz melabelkan Patriot sebagai pertubuhan haram.
Katanya, apa yang dilakukan oleh Khairy tidak jauh berbeza ketika Datuk Seri Najib sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1980an lalu. Jelas kepada rakyat, Datuk Seri Najib merestui keadaan huru-hara yang membolehkan polis bertindak kepada kumpulan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH).
“Ini juga bermakna himpunan pada 9 Julai yang lalu bukanlah satu perhimpunan haram atau berkaitan dengan pertubuhan haram. Jika dilihat ucapan Datuk Seri Najib tersebut, memang benar Datuk Seri Najib bersetuju dengan Khairy dan Patriot berhimpun pada 9 Julai serta membenarkan kewujudan Patriot sebagai platform Umno bagi mewujudkan satu kumpulan yang membantah. Pengakuan Najib ini dibuat dihadapan 6,000 orang yang berada di dalam majlis itu dan dirakam oleh pihak media. Sekarang kita tunggu jawapan Datuk Seri Najib!” katanya.