Menjelang pembentangan Bajet 2017 esok, akaun Facebook Perdana Menteri rasmi dibanjiri komentar netizen yang rata-rata berang apabila Presiden Umno itu mengaitkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kedudukan ekonomi negara.
“Sejak 2009 pembangkang dan penyokong mereka kata Malaysia akan bankrap di bawah Kerajaan Barisan Nasional.
“Hakikatnya, setiap tahun kita dapat naikkan pemberian BR1M dari RM500 pada 2012 sehingga RM1,050 pada tahun ini, dan kriteria layak menerima BR1M telah diperluaskan agar lebih ramai dapat manfaat.
“Nantikan #Bajet2017 untuk pengumuman BR1M dan inisiatif lain,” kata Najib dipetik daripada status Facebook yang dimuatnaik pukul 11.30 pagi hari ini.
Walau bagaimanapun bagi Noramin Sarkawi, Najib tidak harus mengungkit pemberian itu sebaliknya memperkasakan ekonomi bukan ditambah lagi hutang dengan berbelanja besar.
“Kalau berfaedah tidak mengapa. Ini makin menekan rakyat. Kembalikan subsidi supaya rakyat berpendapatan rendah boleh hidup tanpa tekanan.
“Buat pelaburan bijak yang boleh mengukuhkan ekonomi negara. Buang budaya mengugut dan kurangkan elaun menteri-menteri bukan kurangkan bajet pada perkara kritikal seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan,” tegasnya lagi.
Sementara itu, pengguna Facebook Ahmad Faiberudin secara menyindir menghargai ‘ilmu’ yang diberikan Najib.
“Oh, ekonomi diukur daripada jumlah pemberian BR1M. Baru saya tahu, terima kasih Najib Razak. Ilmu menipumu memang seluas lautan,” sinisnya.
Menurut Ahmad Kamil pula, ramai golongan muda sepertinya tidak lagi menyakini integriti parti pemerintah sedia ada.
“Datuk Seri percayalah. Sokongan rakyat terhadap kerajaan semakin goyah. Kami generasi muda hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan,” ujarnya terus-terang.
Terus dihujani cemuhan rakyat, Zulhilmi Zainuri antara ratusan netizen di status Facebook Najib itu yang mendesak Pengerusi BN supaya tidak menjadi bebal.
“Tolong jadi cerdik sedikit! Bukan BR1M yang patut jadi ukuran kemajuan negara tetapi kadar hutang dan pertumbuhan GDP dan GNP yang menjadi ukuran.
“Kau (Najib) ambil ekonomi kat sekolah mana hah?!” tempelak Zulhilmi lagi.
Pada masa sama, rayuan supaya Najib menghapuskan kadar cukai enam peratus itu turut disuarakan orang ramai.
“Tak bagi BR1M pun tak mengapa, yang penting kembalikan subsidi. Hapuskan GST,” gesa Hafiz Amiruddin.
Begitu juga Yusaini Hakim yang berpendapat langkah menurunkan bebanan kos ditanggung rakyat adalah lebih baik daripada menerima BR1M hanya RM500 setahun.
“Apa kata hapuskan GST, turunkan kadar tol, turunkan harga barangan dan kurangkan cukai terhadap rakyat,” ujarnya.
Deretan reaksi netizen lebih 600 komentar setakat pukul 1 petang tadi juga terselit dengan respon sekadar #RespectMyPM yang dipercayai akaun palsu.
Turut terdapat di Facebook Najib adalah fotonya kelmarin sedang berbincang mengenai penyediaan Bajet2017 bersama Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Makin dekat dengan pembentangan, makin banyak perkara perlu diteliti, pastikan bajet sentiasa inklusif buat semua,” dipetik dari Facebook suami Rosmah Mansor itu. Malaysia dateline