Pemotongan bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM10 bilion seperti terkandung dalam Bajet Alternatif Pakatan Harapan 2017 adalah langkah tepat kerana wang sebanyak itu wajar digunakan bagi menampung keperluan rakyat, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.
Beliau berkata, pertambahan bajet bagi sektor pendidikan dan kesihatan adalah lebih penting dan genting untuk rakyat berbanding bajet pengurusan atau kos operasi.
“Bukan sahaja wang negara dapat diselamatkan, bahkan kebajikan rakyat lebih terjamin. Bajet Alternatif Pakatan Harapan adalah satu bajet yang menumpukan usaha bagi menyelesaikan masalah rakyat hari ini.
“Isu bersama yang dikongsi rakyat adalah kenaikan kos sara hidup dengan peningkatan harga barangan secara mendadak selepas pelaksanaan GST,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diumumkan dalam belanjawan Pakatan Harapan membolehkan harga barangan akan dapat diturunkan.
“Bagi kerajaan dan yang bersekutu dengan pemerintah Umno hari ini, GST didakwa membantu ekonomi negara, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.
“GST adalah sistem percukaian yang menekan ekonomi rakyat, dan jika rakyat semakin susah, ekonomi menjadi lembap akibat ketidakmampuan rakyat untuk berbelanja, kesan akhir pasti meruntuhkan ekonomi negara,” jelasnya.
Rentetan daripada itu, ujarnya, kadar penggangguran akan bertambah serta meruncingkan lagi krisis ekonomi negara dan rakyat.
“Justeru, bajet yang menekankan kepada penjimatan berbilion ringgit perbelanjaan kerajaan melalui kaedah sifar ketirisan dan rasuah, akan menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.
Mengulas peningkatan gaji minima kepada RM1,500, Faiz menyifatkan kadar itu munasabah dalam membantu rakyat bawahan berhadapan perbelanjaan tinggi pada masa ini.
“Penghapusan subsidi faedah PTPTN dengan bayaran balik pinjaman berdasarkan tangga gaji juga adalah langkah awal yang baik bagi merangsang peminjam membayar semula pimjaman tanpa terlalu membebankan.
“Namun, polisi pendidikan percuma harus terus diperjuangkan Pakatan Harapan kerana pendidikan adalah hak asas rakyat yang penting bagi memacu pembangunan negara,” tegasnya.
Turut disambut baik kawalan terhadap kos rumah awam sekitar RM 80,000 seunit dengan pengecilan margin keuntungan kontraktor yang dilihat dapat membantu rakyat bawahan memiliki rumah terutama golongan muda.
Mengulas lanjut, Faiz berpendapat belanjawan diumumkan Pakatan Harapan semalam adalah bajet yang mementingkan kebajikan rakyat dan dapat membantu negara keluar daripada kemelut ekonomi.
“Pembaziran dan penyelewengan wang negara jika dibiarkan akan merisikokan negara kepada muflis. Akhirnya, rakyat akan mengemis di negara sendiri yang dihujani kekayaan hasil bumi ini.
“Konsep maqasid syariah yang ditekankan Pakatan Harapan dalam bajet berkenaan amat baik dan pasti berkesan membawa prinsip Islam dalam pentadbiran negara.
“Sekaligus, dapat membuktikan bahawa Islam adalah rahmat bagi keseluruhan rakyat tanpa mengira agama dan kaum,” tambahnya lagi.