Pemenang-pemenang Hadiah Gwangju untuk Hak Asasi dari pelbagai negara tampil menyatakan sokongan kepada Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah yang berdepan hukuman bunuh.
Dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Rama Ramanthan, mereka menentang keras ugutan padanya dan menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak yang terlibat.
“Kami ada mendapat khabar kereta anaknya disimbah cat dan terdapat cubaan untuk menakut-nakutkan beliau, keluarga dan rakan-rakan.
“BERSIH 2 adalah sebuah organisasi yang terlibat, seperti kami, dalam perjuangan yang sah untuk mewujudkan pilihan raya yang bebas dan adil, kerajaan yang bersih dan perbezaan pendapat yang betul.
“Kami menyeru pihak berkuasa di Malaysia untuk melindungi kebebasan untuk perbezaan pendapat dan untuk melindungi Maria Chin Abdullah dan mereka yang lain-lain,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu melibatkan Basil Fernando (Sri Lanka), Sushil Pyankurel (Nepal) dan Hermien Y Kleden (Indonesia).
Antara tokoh terkenal yang pernah memenangi Hadiah Gwangju termasuk pemimpin rakyat Timur Leste Xanana Gusmão dan ikon kebebasan Myanmar Aung San Suu Kyi.
Maria, pemenang terbaru hadiah daripada Korea Selatan itu, sebelum ini diugut bunuh melalui gambar manipulasi menunjukkan seseorang ala-IS mengacungkan senjata tajam padanya.
Maria juga membuat laporan polis ini mengenai ancaman terhadap anak-anaknya, selepas kereta anak lelakinya disimbah dengan cat merah.