Perisytiharan ‘perang’ terhadap Bersih 5 oleh puak Baju Merah mungkin berpotensi mencetuskan suasana tegang sekiranya pihak berkuasa lembab bertindak terhadap mereka.
Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, tindakan puak Baju Merah itu mungkin dilakukan untuk mewujudkan iklim ketakutan dalam kalangan rakyat bagi mengurangkan kehadiran peserta.
“Adakah puak Baju Merah berniat untuk menimbulkan huru-hara? Apakah matlamat sebenar mereka? Siapakah mendalangi agenda mereka? Adakah semua ini telah dirancang untuk mewujudkan iklim ketakutan di kalangan rakyat?” soal Nizar.
Beliau juga berasa hairan kerana sehingga sekarang, tiada tindakan tegas diambil oleh pihak polis terhadap pemimpin puak Baju Merah yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman serta ugutan terhadap perserta Bersih 5.
“Bagaimanapun saya berharap puak Baju Merah ini tidak akan memporak-perandakan suasana sehingga menjadi tegang dan kacau-bilau untuk menjustifikasikan pihak polis membatalkan perhimpunan Bersih pada 19 November nanti,” kata Nizar kepada Suara pakatan daily (SPD).
Tinjauan SPD di sekitar Kepong dan Segambut, Kuala Lumpur mendapati ramai penduduk di dua kawasan itu menyokong perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan.
Rata-rata semua 70 orang yang diwawancara berkata usaha Bersih itu patut disokong untuk memastikan pilihan raya yang telus dan mempertahankan amalan demokrasi .
Namun demikian, kata mereka, kenyataan puak Baju Merah yang telah mengisytiharkan ‘peperangan’ ke atas peserta Bersih menakutkan orang ramai.
Oleh itu, kemungkinan himpunan kali ini tidak berjaya mengumpulkan peserta sebanyak Bersih 4, Ogos tahun lalu yang mencatat rekod kehadiran 200,000 orang.