Sebuah akhbar harian berbahasa Cina pada awal minggu ini melaporkan bahawa rakyat Malaysia sedang berpusu-pusu mendapatkan stok minyak masak selepas spekulasi bertiup kencang menyatakan harga bahan itu akan dinaikkan mulai 1 November depan.
Pengerusi Biro Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad mendesak kerajaan segera menjelaskan status harga minyak masak, sama ada subsidi akan dikekalkan sepanjang 2017 atau akan mengalami pemotongan yang menyababkan kenaikan harga.
“Jika benar subsidi minyak masak akan dikurangkan maka adakah ini bermakna Malaysia berada di ambang kemuflisan? PM Najib harus menjawab, bukan diam membisu dalam isu yang penting seperti ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Penegasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini bahawa minyak masak peket kekal dengan harga RM2.50 sekilogram, menurut pemerhati ekonomi, tidak menyelesaikan masalah kerana rakyat tidak mendapat perincian peruntukan subsidi ke atas bahan itu.
Bagaimanapun, minyak masak botol dimansuhkan subsidi, melibatkan kategori 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, produk minyak campuran serta produk minyak sawit tulen yang dijual dalam botol lebih besar.
Pengurangan subsidi menyaksikan harga minyak masak 1kg meningkat daripada RM3.60 kepada RM3.70; 2kg daripada RM7.20 ke RM7.40; 3kg dari RM10.35 ke RM11.10 dan 5kg dari RM14.70 ke RM18.50.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran pula berpendapat kemungkinan stok minyak masak telah diekspot kelua negara supaya negara memperolehi pendapatan lebih baik sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
“Mungkin stok minyak masak ini diekspot supaya negara kita memperolehi pendapatan (lebih baik) kerana Belanjawan 2017 yang dibentangkan pada 21 Oktober lalu menunjukkan kerajaan terlalu bergantung kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (yang mungkin susut pada 2017),” katanya.