Tugas menyoal pentadbiran kerajaan yang menyebabkan kesusahan rakyat tertindas adalah kewajipan agama yang dituntut Islam.
Adun Salor Datuk Husam Musa berkata, Islam mewajibkan umatnya membela insan dari kalangan lelaki dan wanita yang ditindas akibat sistem pemerintahan yang tidak mengikut kehendak Islam.
“Apa yang saya bangkitkan berkaitan masalah dihadapi Orang Asli dan tuntutan penduduk Kampung Laut bukan perkara kecil, tetapi perkara itu satu asas kewajipan yang ditetapkan Islam.
“Begitu juga apa yang saya bangkitkan soal hasil balak yang begitu rendah berbanding kawasan balak yang ditebang yang mengakibatkan hasil negeri menjadi kecil untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika merasmikan mesyuarat penubuhan Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) di Wisma Tok Guru, Salor pagi ini.
Beliau turut memberi penjelasan berkaitan operasi Kumpulan Perkayuan Kelantan (KPK) yang kini ditutup.
Laporan audit berkaitan KPK menyebut syarikat itu rugi RM5.7 juta apabila urusniaganya dibuat di bawah harga pasaran.
Beliau turut membangkitkan hasil yang diperolehi dari projek Ladang Rakyat yang telah berjalan sejak 10 tahun yang lalu.
“Hasil yang diumumkan sehingga kini ialah RM91 juta bagi kawasan lebih 90,000 ekar yang diusahakan.
“Ini bermakna perolehan bagi setiap ekar ialah RM112 setahun.
“Kalau kita tanam kangkung pun tentu akan dapat lebih RM112 setahun sedangkan projek ini usahakan kelapa sawit, tak munasabah sebanyak itu,” katanya.
Matlamat perjuangan parti Amanah katanya harus menumpukan kepada pembanterasan segala penyelewengan supaya hasil sebenar yang sepatutnya diperolehi negeri dan rakyat bertambah.
“Dari situlah kita dapat membela golongan tertindas seperti dikehendakki Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Aiman Athirah, beliau menyifatkan kehebatan Husam dalam sidang DUN Kelantan yang berakhir semalam menyamai 10 wakil rakyat.
Katanya Husam membangkitkan masalah yang gagal ditangani dengan baik oleh wakil-wakil rakyat Pas.
“Saya tidak sempat ikuti keseluruhan persidangan tapi dengan sempat melihat klip video penggulungan dua exco. Apa yang saya lihat itu sudah cukup membuktikan memang betul apa kata Pengerusi Amanah Kelantan bahawa seorang Adun kita ada keupayaan serupa 10 Adun lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian Angkatan Wanita Amanah (Awan) di Kota Bharu pagi ini.
Beliau turut mengingatkan ahli Amanah untuk meneruskan apa yang telah diperjuangkan arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita yakin walaupun Tok Guru telah tiada namun apa yang beliau perjuangkan tetap terus relevan sampai bila-bila.
“Sebagai contoh berkenaan perhimpunan Bersih, sejak Bersih pertama dan sepanjang hayat beliau, dia suruh kita sokong Bersih.
“Jadi kalau ada orang kata jangan sertai Bersih siapa agaknya yang betul, arwah Tok Guru atau orang itu,” katanya. Malaysia dateline