Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (ARUS) Perak memandang serius kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil yang dilaporkan media telah mengesahkan wujudnya perlakuan rasuah membabitkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan habuan wang kepada pensyarah untuk menaikkan gred pencapaian akademik dan lulus peperiksaan.
Pengerusi ARUS Dr Mohd Nuri Al- Amin Endut berkata dakwaan tersebut perlu disasat segara oleh kementerian berkaitan agar kualiti graduan lepasan IPT tidak menurun dan IPT tempatan dianggap tidak berwibawa dalam melatih bakal profesional.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) wajar menyiasat dakwaan ini dan perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan agar wabak ‘jijik’ ini tidak merebak secara berleluasa sama ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di dalam negara kita.
“Gejala tidak sihat di kalangan mahasiswa ini perlu dibendung secara serius kerana ianya tidak sepatutnya wujud di dalam institusi pendidikan yang menjadi pusat penyebaran ilmu ketamadunan, pengukuhan nilai-nilai mulia dan pembangunan modal insan bagi menyediakan kepimpinan negara di masa hadapan.
“ARUS Perak menegaskan bahawa isu rasuah adalah isu sejagat yang perlu ditentang habis-habisan apatah lagi di dalam bidang pendidikan yang mulia.
“KPT serta SPRM perlu berganding bahu membenteras sekecil-kecil perilaku rasuah yang dikatakan sedang berlaku di IPT supaya ianya tidak mencemar integriti institusi pendidikan di negara ini. Pihak IPT juga wajar memberikan segala komitmen bagi menentang rasuah kerana masa depan negara kita boleh hancur jika IPT menjadi medan permulaan rasuah yang merosakkan sistem pentadbiran dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata Dr Mohd Nuri Al- Amin lagi, KPT juga perlu memperkenalkan kurikulum dan sistem pembelajaran yang lebih berkesan untuk menerapkan asas nilai-nilai mulia seperti integriti di kalangan mahasiswa bagi mengekang mereka terjebak di dalam gejala rasuah.
“Pengukuhan sistem nilai di kalangan mahasiswa adalah penting kerana mereka bakal menjadi pemimpin, pentadbir atau pembuat dasar yang perlu bebas dari najis rasuah demi kelangsungan kemakmuran negara yang kita cintai ini,” katanya.