Sepanjang kempen PRK Tenang, MCA telah bertali-arus menyerang dan mencipta budaya takut terhadap masyarakat Cina kononnya PAS esktremis agama. Semua itu dilakukan demi meraih undi bukan Islam. Demikian pandangan ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung teknik berkempen MCA.
Menurutnya, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek dan beberapa orang pemimpin parti itu amat keterlaluan menyerang PAS, mendakwa mengundi PAS bermakna berakhirnya kebebasan beragama dan kebebasan individu di Malaysia. Chua berhujah walaupun Umno tidak sempurna dan terdapat korupsi tapi ia pilihan yang lebih baik berbanding PAS dengan prinsip keagamaannya.
“Kenyataan Presiden MCA hanya separuh benar. Umno bukan sahaja korup tetapi ia juga telah menyalah-gunakan agama sebagai alat politik untuk mencipta ketaksuban dan menyebarkan ketakutan di kalangan orang Melayu terhadap bukan muslim. Sebenarnya, Dr Chua sengaja memejamkan mata terhadap fakta percubaan Umno mengurangkan hak-hak bukan Islam.
“Bukankah Umno cuba memonopoli kalimah Allah hanya untuk orang Islam dan melarang penganut agama lain misalnya Kristian menggunakannya dalam upacara keagamaan mereka. Sedangkan perkataan Allah telah digunakan sejak sekian lama oleh Arab Kristian dan Yahudi di negara Timur Tengah yang diiktiraf sebagai negara Islam,”bidasnya.
Menurut Tony lagi, pemimpin Umno juga sering mewujudkan budaya ekstrem dengan menyokong aktiviti pertelagahan antara kaum dan antara agama seperti insiden protes kepala lembu berhubung pembinaan kuil Hindu di kawasan penduduk muslim di Shah Alam, Selangor. Umno juga mensabotaj polisi kebajikan di Pulau Pinang dan menyatakan sumbangan RM100 kerajaan negeri adalah dari sumber yang tidak halal.
“Dalam semua hal MCA telah menunjukkan sikap hipokrit dengan beriam diri seperti tikus walaupun mereka adalah komponen dalam BN
“Sebaliknya PAS yang banyak menentang ketaksuban Umno dan mempertahankan hak bukan Islam di Malaysia. Presiden PAS Tuan Guru Hadi Awang, secara terbuka mempertahankan hak bukan Islam menggunakan kalimah Allah di Parlimen. Begitu juga Tok Guru Nik Aziz mempertahankan tindakan Teo Nie Ching dan menggalakkan beliau terus melawat masjid dan membina hubungan antara masyarakat berbilang kaum. Tok Guru menyatakan Nabi Muhammad juga menerima bukan Islam melawat masjid.
“Sangat jelas kepada rakyat, PAS memilih jalan kesederhanaan manakala Umno memilih jalan menyalahgunakan agama untuk mencapai matlamat politik dengan apa sahaja cara,”jelasnya.
Tony menyeru pengundi di Tenang agar menyokong PAS yang terbukti menunjukkan kesederhanaannya terhadap rakyat berbilang kaum di Malaysia berbading Umno yang masih mempromosikan budaya ekstrem dan memanipulasi sensitiviti antara agama demi mempertahankan survival pemerintahan mereka.